Malaysia kukuh kedudukan peneraju kewangan Islam global


Malaysia berjaya mengatasi 139 buah negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kewangan Islam global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata begitu sebagai mengulas Laporan Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026.
Jelasnya, kejayaan tersebut disokong pertumbuhan pasaran modal Islam mencecah RM2.7 trilion pada akhir 2025 bersamaan kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan pasaran modal negara.
Ia dikukuhkan lagi dengan momentum positif berterusan pada tahun ini dengan penerbitan sukuk global Malaysia bernilai AS$1.5 bilion (RM6.12 bilion) pada Julai yang berjaya menarik tempahan pelabur melebihi AS$9.5 bilion (RM38.78 bilion), iaitu bersamaan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali.
"Dalam sektor perbankan, pembiayaan perbankan Islam telah merangkumi kira-kira 48 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan di Malaysia pada 2025.
"Angka ini membuktikan bahawa kewangan Islam bukan lagi sekadar alternatif, sebaliknya telah menjadi komponen utama dalam sistem kewangan negara," katanya dipetik laporan media.
Dr Zulkifli turut menyifatkan kejayaan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kedudukan kewangan Malaysia serta daya tarikan instrumen kewangan Islam negara.
Sementara itu menurutnya, bagi mengekalkan trajektori berkenaan, pihaknya akan memastikan pertumbuhannya terus dipacu inovasi, daya saing dan nilai syariah, selain menggalakkan pasaran modal yang mampan demi kesejahteraan rakyat.
Kerajaan MADANI jelasnya akan terus memberikan sokongan kepada industri kewangan Islam dalam negara bagi memastikannya terus berkembang.
"Kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan aset, jumlah keuntungan atau kedudukan pasaran semata-mata.
"Ia juga harus berdasarkan sejauh mana institusi kita mampu memperluas akses kepada pembiayaan, memperkasakan perusahaan kecil, mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dan membantu golongan memerlukan," tambahnya.




Comments