Dalam lawatan mengejut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur semalam beliau menggesa agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera membangunkan semula pasar harian berkenaan.
Anwar yang sering melawat kemudahan untuk rakyat marhaen dalam lawatan itu berkata, pasar tersebut kelihatan daif kerana syarikat swasta yang diberi tanggungjawab memajukannya gagal berbuat demikian dan pembangunan pasar itu telah tertangguh sejak enam tahun.
Dalam lawatan itu juga PM berkata bahawa Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Md Salleh telah dimaklumkan hal berkenaan.
"Masalahnya dulu DBKL beri kepada syarikat swasta, gagal. Jadi saya fiikir kena beri perhatian (pasar ini) kerana keadaannya sangat daif
"Saya dah beritahu Johari Ghani, Datuk Bandar pun ada. Kita beri perhatian dan keutamaan," katanya.
Dalam pada itu, kenyataan Johari dipetik berkata bahawa Pasar Dato Keramat gagal dibangunkan sebelum ini kerana syarikat yang diberikan tanggungjawab tidak melaksanakan projek naik taraf pasar berkenaan namun DBKL tidak boleh meneruskan projek kerana syarikat pemaju sudah membayar kira kira 10% nilai hartanah di kawasan terbabit.
Commentaires