top of page

Pasang Jalur Gemilang terbalik: Kerajaan perlu ambil tindakan tegas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang menjadi kontroversi sebelum ini.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, sesiapa yang sengaja mencabar kedaulatan negara atau mana-mana wilayah dan negeri wajar dikenakan tindakan tegas.


''Bendera Malaysia merupakan panji panji sebuah negara berdaulat dan tidak patut diremehkan.

Abang Zulkifli Abang Engkeh
Abang Zulkifli Abang Engkeh

''Negara dan negeri masing-masing mempunyai bendera dan lambang yang telah ditetapkan oleh peraturan sebagai salah satu simbol kesatuan dan perpaduan.


''Maka rakyat wajib mematuhi dan memeliharanya dengan baik,'' katanya dalam satu kenyataan.


Tegas Abang Zulkifli, memasang bendera secara terbalik tidak patut dilakukan kerana perbuatan tersebut menghina kedaulatan negara.


Katanya, kecuaian yang sering berulang tidak boleh dijadikan alasan sebagai perbuatan yang tidak disengajakan.


''Selagi mana kita mengakui bahawa negara ini adalah negara kita, maka apa yang termaktub dalam Perlembagaan harus ditaati dan dipatuhi termasuk menghormati dan memelihara panji-panji negara dan lambangnya,'' ujarnya lagi.


Dalam hal sama, Abang Zulkifli turut mengingatkan parti-parti politik dan pimpinan dalam Kerajaan MADANI termasuk DAP dan UMNO agar tidak emosi dalam menghadapi isu berhubung kedaulatan negara.


Kewujudan isu seperti itu ujarnya perlu dikaji dan dirungkai dengan sikap yang terbuka.


Katanya, rakyat yang waras pasti faham makna tersurat dan yang tersirat di sebalik kejadian tersebut.


''Kegagalan Kerajaan menangani isu yang sering berulang ini akan mengundang perpecahan dan pergolakan yang akhirnya akan mewujudkan permusuhan dan pergaduhan.


''Sebelum keadaan ini menjadi parah, langkah segera mengekang harus dilakukan.


''Tindakan tegas, melapor, mendakwa dan menghukum individu yang biadab terhadap negara mesti dilaksanakan dengan sewajarnya,'' tegas beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page