top of page

Pas tolak jawatan Exco Perlis, mahu terajui PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 30, 2025
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Pas mengambil keputusan menolak sebarang pelantikan bagi jawatan Exco kerajaan negeri Perlis di bawah teraju Bersatu sebagai tanda solidariti kepada kemelut politik di negeri paling utara Semenanjung itu.


Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, semua Exco sedia ada dari Pas turut melepaskan jawatan masing-masing selaras dengan tindakan diambil bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli sebelum ini.


"Pas komited meneruskan kelangsungan dan keberadaan dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada PRU-15, namun pada masa sama Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.


"...semua anggota Exco sedia ada daripada Pas akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Takiyuddin berkata keputusan tersebut dibuat setelah meneliti dan membuat pertimbangan terhadap situasi semasa berkait kerajaan negeri Perlis dan Perikatan Nasional (PN).


Tegas beliau Pas kekal dengan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.


Dalam pada itu, Pas menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN.


"Pas juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) ke-16," katanya.


Terdahulu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya susulan kritikan berterusan pemimpin Pas ekoran pembentukan kerajaan negeri Perlis yang baharu diterajui Bersatu.


Langkah itu turut diikuti Setiausaha Agung PN Datuk Seri Azmin Ali.


Khamis lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau selepas diperkenankan oleh Raja Perlis.


Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri menjadi Menteri Besar pertama daripada parti tersebut di Perlis.


Pelantikan Abu Bakar yang sebelum ini merupakan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri meredakan seketika pergolakan politik di negeri itu yang tercetus sejak minggu lalu ekoran laporan lapan ADUN menarik sokongan terhadap Shukri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page