Pas tidak serasi dengan Malaysia harmoni, berbilang kaum, budaya?
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pas terus menjadi subjek perbahasan awam apabila pendekatan politik Melayu-Islamnya terus menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas prinsip keseimbangan antara agama dan kebebasan, antara keyakinan dan keprihatinan, serta antara kepelbagaian dan perpaduan.
Menurut beliau, mana-mana gerakan politik yang mengganggu keseimbangan tersebut bukan sahaja gagal menguatkan negara, malah berpotensi menjejaskan keharmonian nasional.
"Pas ialah gerakan sedemikian. Ini bukan tuduhan beremosi. Ini ialah realiti politik dan sosial yang telah berulang kali disedari oleh rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan wilayah.
"Pas secara asasnya tidak serasi dengan sebuah Malaysia yang harmoni, berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya. Itu adalah fakta.
"Jenama politik mereka berakar pada absolutisme moral yang ekstrem, sikap serba suci, dan tafsiran agama yang autoritarian, yang seolah-olah tidak memberi ruang kepada perbezaan atau dialog," dakwa Lokman dalam satu muat naik di Facebook.
Sebaliknya kata Lokman, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mewakili laluan yang berbeza iaitu laluan kesederhanaan, realisme dan tadbir urus yang bertanggungjawab.
Menurut beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO, laluan tersebut menghormati Islam tanpa memaksakannya, melindungi kepelbagaian tanpa menghakis identiti dan memerintah tanpa paksaan.
"Selama beberapa dekad, UMNO dan BN telah memelihara Malaysia yang majmuk, bukan dengan menghapuskan perbezaan, tetapi dengan menguruskannya secara bijaksana, bertoleransi dan seimbang.
"Sebab itulah Malaysia kekal aman dan kepelbagaian kita terus bertahan. Sebab itulah jalan tengah sentiasa menang," ujarnya lagi.
Pas kebelakangan ini dilihat semakin mengutamakan kaum Melayu berbanding masyarakat berbilang kaum di negara ini yang menimbulkan kritikan banyak pihak.
UMNO biarpun mahu menggerakkan 'kolaborasi agung' melibatkan parti politik Melayu tetapi tetap memfokuskan masyarakat berbilang kaum dan menolak ekstremisme.









Comments