top of page

Pas tidak layak jadi Kerajaan, gagal wujudkan pertumbuhan ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 minutes ago
  • 2 min read

ree

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli (gambar) menyifatkan sikap kepimpinan Pas yang sering memainkan naratif “dianaktirikan” setiap kali diberi mandat mentadbir negeri sebagai bukti kegagalan parti itu menunjukkan pemikiran kemajuan (growth mindset) dalam pentadbiran ekonomi.


Menurut beliau, setiap kali Pas diberikan amanah, pendekatan yang diambil bukanlah berasaskan daya usaha membangunkan ekonomi sebaliknya berlegar pada sikap menyalahkan pihak lain.


"Ini satu lagi sebab kenapa saya tidak pernah yakin dengan kemampuan Pas mentadbir kerana saya tidak pernah melihat growth mindset daripada pimpinan Pas.


"Setiap kali mereka diberi peluang mentadbir negeri, satu-satunya jalan yang mereka ambil ialah victimology — ‘kami mangsa, kami dianaktirikan’.


"Mereka tidak bercakap tentang bagaimana hendak menambah hasil atau membaiki keadaan," katanya dalam siri podcast terbaharu.


Rafizi menegaskan negeri seperti Kelantan sebenarnya mempunyai potensi besar daripada segi sumber bumi, pelancongan dan budaya, namun gagal dimanfaatkan sebaiknya berbanding negeri lain yang tiada hasil seperti Melaka atau Negeri Sembilan.


"Macam mana negeri Melaka atau Negeri Sembilan yang kalau dibanding dengan Kelantan sebenarnya tidak ada hasil apa apa kecuali pantai pantai.


"Macam mana mereka boleh lebih maju, berdikari, lebih baik? Tidak kisah di bawah kerajaan UMNO atau Pakatan Harapan. Peningkatan hasil berbanding 10 tahun lalu jauh lebih baik," katanya.


Beliau turut menyifatkan sikap pentadbiran Pas yang hanya menumpukan pada perbelanjaan tanpa usaha menumbuhkan ekonomi sebagai tidak bertanggungjawab.


"Bila mereka jadi kerajaan, mentalitinya hanya belanja dan belanja. Belanja memang tidak pernah cukup, tetapi mentaliti untuk mengembangkan ekonomi tidak ada.


"Itu sebab saya bimbang kalau mereka jadi Kerajaan Persekutuan. Sekarang mereka boleh salahkan kerajaan pusat, tapi kalau mereka jadi Menteri Kewangan nanti, siapa mahu disalahkan?" soalnya.


Mengulas dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan Pantai Timur dengan memberi tumpuan pembangunan kepada Pulau Pinang, Rafizi berkata kenyataan itu tidak berasaskan fakta.


"Sebenarnya, projek yang menyebabkan hutang paling besar kepada kerajaan sekarang ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos sekitar RM84 bilion dan projek itu dibina di negeri mereka sendiri, termasuk Kelantan dan Terengganu," katanya.


Rafizi menegaskan, tuduhan bahawa kerajaan hanya menyalurkan peruntukan kepada negeri tertentu seperti Pulau Pinang hanyalah modal politik sempit berasaskan perkauman.


"Kalau inilah gaya pimpinan Pas, saya takut untuk masa depan negara. Kalau begini maksudnya, sama ada dia tak faham angka, atau tak mahu berlaku adil atau modal politik (hanya) mengapi apikan Melayu tak suka Cina," sinisnya.


Menurut Rafizi, keutamaan sebenar kerajaan hari ini ialah meningkatkan hasil dan pertumbuhan ekonomi negara, bukan sekadar berpolitik atau menanam sentimen perkauman.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page