Oleh: Abdullah Zaid
Pas diingatkan agar tidak sibuk mengkritik DAP berkenaan isu Perdana Menteri bukan Melayu atau Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana parti itu juga mempunyai isu utama yang diperjuangkan seperti negara Islam atau RUU 355.
Oleh itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf menyarankan agar Pas bersikap lebih terbuka.
Katanya, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU 355 masih tidak dilaksanakan oleh Pas biarpun pernah bersama menerajui negara selama hampir 33 bulan, justeru hal yang sama juga berlaku dalam isu sensitif lain.
"Apa yang menghairankan Pas bukanlah sebuah parti yang boleh terima kritikan, kalau dia menghentam, mencaci dan menfitnah orang boleh, tetapi dikritik tidak boleh.
"Kita lihat RUU 355, sampai ke saat ini masih lagi tidak dilaksana dan bukan lagi menjadi agenda utama mereka walaupun mereka pernah jadi kerajaan. Namun sehingga ke saat ini mereka masih mengecam pihak yang cuba menegur mengenai status RUU itu," katanya.
Oleh itu, katanya, Pas telah menunjukkan sikap bahawa parti itu tidak serius mahu melaksanakan rang undang-undang mahkamah syariah tersebut tetapi RUU 355 tetap dijadikan modal politik.
Dalam isu kelemahan demokrasi Pas, Abshar menyeru agar sistem pemilihan Pas dijadikan lebih demokratik lebih kebebasan diberikan memandangkan jawatan presiden parti itu tidak pernah dipertandingkan kecuali pada tahun 2015.
Hal itu, katanya, mungkin menyebabkan Pas tidak terbiasa dengan budaya kebebasan menyatakan idea dan membahaskannya.
"Jadi saya saran untuk Pas lebih terbuka untuk bagi ruang pemilihan yang lebih adil dan lihat kelemahan yang ada pada parti dahulu sebelum mengkritik orang lain," ujarnya lagi.
Comments