top of page

Pas tiada hala tuju ekonomi, anjur ‘Turun Anwar 2.0’ mainan politik sempit

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil (gambar), menyelar cadangan Pas untuk menganjurkan demonstrasi “Turun Anwar 2.0”, dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta bukti bahawa parti itu tidak mempunyai halatuju ekonomi yang jelas.


Menurut beliau, tindakan Pas yang mempolitikkan isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat hanyalah cubaan sempit untuk menghasut rakyat dan menggugat keyakinan terhadap dasar ekonomi negara.


"Tindakan mereka yang kini mengugut untuk mengadakan demonstrasi jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab serta kecenderungan mereka mempolitikkan setiap dasar kerajaan demi kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan.


Faiz menegaskan bahawa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menghormati hak mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk semakan kehakiman berhubung mana mana perjanjian, namun langkah seperti itu wajar dilakukan secara beradab dan berasaskan fakta.


"Cadangan Pas untuk memfailkan semakan kehakiman boleh membuktikan bahawa kerajaan telah bertindak mengikut undang-undang, berlandaskan prinsip ketelusan dan kepentingan nasional," katanya.


Sehubunan itu beliau menolak dakwaan kononnya perjanjian ART berat sebelah atau merugikan Malaysia, sebaliknya menjelaskan bahawa rundingan dijalankan secara profesional oleh pegawai awam berpengalaman.


"Perjanjian ini telah dirangka dengan penuh pertimbangan terhadap kepentingan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat, dan kedudukan Malaysia di pentas global. Kejayaan menurunkan tarif timbal balas Amerika Syarikat ke atas Malaysia daripada 25% ke 19% merupakan yang terendah," ujarnya.


Faiz berkata, tindakan Pas memperlekeh perjanjian tersebut bukan sahaja menjejaskan imej kerajaan, tetapi juga merendahkan kecekapan penjawat awam yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.


"Lebih membimbangkan, ia memberi isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam dasar dan komitmen antarabangsa.


"Jika Pas memerintah, adakah Pas akan menghentikan hubungan dagang dengan Amerika Syarikat? Adakah Pas mempunyai pelan ekonomi lain apabila pekerjaan dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan ramai orang Melayu dirisikokan?" soal beliau.


Beliau turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat kini merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan nilai dagangan pada tahun 2024 mencecah RM325 bilion, termasuk RM198.65 bilion eksport dari Malaysia.


"Nilai dagangan tinggi ini yang mengukuhkan ekonomi Malaysia dan membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang Melayu dan anak muda," jelasnya.


Faiz mengingatkan Pas supaya berhenti mengamalkan politik kebencian yang boleh menggugat perpaduan negara.


"Setiap langkah yang diambil Kerajaan Madani adalah berpaksikan kepada kepentingan negara, dan bukan agenda politik kepartian. Anjuran Turun Anwar 2.0 tanpa alasan kukuh adalah cubaan Pas yang berterusan menanam kebecian. Politik kebencian ini adalah tidak Islamik dan boleh menggugat kestabilan dan perpaduan rakyat Malaysia," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page