Pas tersasar realiti, jimat RM183 sebulan bukti BUDI95 ringankan beban
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Wanita KEADILAN menyelar kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali, mendakwa penurunan harga petrol RON95 tidak memberi kesan besar kepada rakyat.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim menegaskan kenyataan tersebut “tidak masuk akal” kerana realitinya rakyat menikmati penjimatan ketara melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
"Dengan harga baharu (RON95) RM1.99 seliter, rakyat mampu berjimat sehingga RM183 sebulan berbanding harga RM2.60 seliter tanpa subsidi.

"Penjimatan ini sangat bermakna untuk mereka yang perlu berulang-alik bekerja, menziarahi keluarga, dan menanggung anak-anak yang belajar jauh dari rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan pimpinan Pas memperlekeh penjimatan RM183 tersebut jelas menunjukkan mereka gagal memahami realiti kehidupan rakyat.
"Hakikatnya, ahli Pas sendiri di seluruh negara turut menikmati manfaat yang sama," tegas beliau.
Ginie Lim menjelaskan, langkah Kerajaan MADANI menurunkan harga petrol dengan melaksanakan subsidi penuh RON95 kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, membuktikan janji kerajaan dipenuhi.
"Wanita KEADILAN mengucapkan tahniah kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat, malah memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan penjimatan kira-kira RM8 bilion setahun," katanya lagi.
Seluruh warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu aktif mulai hari ini menikmati kuota 300 liter petrol bersubsidi dengan harga RM1.99 seliter dan boleh dibeli di stesen minyak dengan mengemukakan MyKad.









Comments