Pas terajui Malaysia jika pengundi progresif pecah, tidak keluar mengundi
- Akmal Manaf

- 58 minutes ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa Pas sukar memenangi majoriti 113 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan amat tidak tepat.
Realitinya, sebagaimana dibayangkan oleh bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek semalam, parti itu hanya perlu muncul sebagai blok politik terbesar untuk berpeluang membentuk kerajaan dan menukar Malaysia ke arah politik jalur keras di rantau ini.
Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin (gambar) berkata dalam landskap politik Malaysia, persaingan lazimnya berlaku antara dua kelompok pengundi utama iaitu pengundi konservatif dan pengundi progresif.
Beliau berkata, pengundi konservatif lazimnya terdiri daripada mereka yang lebih berpegang kepada nilai dan prinsip agama, sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar, manakala pengundi progresif kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar serta merentasi pelbagai kaum dan latar belakang.
Menjelang PRU16 ujarnya, pengundi progresif dijangka akan berpecah antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta parti-parti lain seperti MUDA, Bersama, PSM, Warisan dan sebagainya sehingga memudahkan percaturan Pas untuk merampas Kerajaan Persekutuan.
"Segmen pengundi ini kini dipenuhi terlalu banyak parti dan sekiranya sebahagian daripada mereka memilih untuk tidak keluar mengundi, keadaan akan menjadi sangat getir bagi 82 kerusi yang dimenangi PH sebelum ini.
"Sebaliknya, pengundi konservatif secara umumnya akan terus memberikan sokongan kepada Pas dan tetap keluar mengundi tanpa mengira keadaan.
"Perpecahan dalam kalangan pengundi progresif berkemungkinan memberi kelebihan kepada Pas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tze Tzin memberi amaran bahawa Pas yang dibelenggu 'drama politik' berpisah dengan Bersatu boleh merebut sehingga 90 kerusi sekiranya pengundi Cina enggan keluar mengundi atau terpengaruh dengan parti parti kecil yang membayangkan mereka akan membawa perubahan lebih baik.
"Dalam kebarangkalian yang tinggi, Pas boleh meningkatkan jumlah kerusinya daripada 71 kepada sekitar 90 kerusi atau lebih dan Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) kemudiannya boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan membentuk kerajaan baharu.
"Pas tidak semestinya perlu memenangi 113 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang seterusnya," katanya.
Semalam, mantan Dr Soi Lek berkata Pas boleh mengambil alih kuasa ‘secara lalai’ jika pengundi Cina memboikot pilihanraya atau membuat undi rosak dalam PRU ke 16.
"Kita mempunyai 222 kerusi Parlimen. Untuk menguasai Kerajaan Pusat, sama ada anda menyertai (pihak) yang lain atau anda mesti mempunyai 113, angka ajaib itu," katanya dipetik.




Comments