top of page

Pas takut umum calon PM bimbang perpecahan dalaman PN makin parah?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 16
  • 2 min read
ree

Sikap Pas yang mengakui mempunyai berlori lori calon Perdana Menteri namun satu pun tidak diumumkan, dibidas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.


Mahfuz menyifatkan tindakan Pas itu sebagai “lawak politik paling hambar minggu ini.”


Menurut Mahfuz, alasan kononnya wujud “risiko keselamatan” terhadap calon hanyalah helah untuk menutup pergolakan dalaman antara Pas dan Bersatu.


"Alasan kononnya ‘risiko keselamatan’ jadi sebab PAS tidak mahu menamakan calon Perdana Menteri hanyalah lawak politik paling hambar minggu ini," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau mengingatkan bahawa Pas sebelum ini pernah berbangga kononnya mempunyai “calon Perdana Menteri berlori-lori”, namun kini tidak berani menamakan seorang pun.


"Kalau betul berlori-lori, hilang seorang pun tak apa, kan masih ada lori kedua, ketiga, keempat?” sindirnya.


Mahfuz turut mempersoalkan kredibiliti empat Menteri Besar Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang sering diangkat sebagai model kepimpinan Islam.


"Kalau betul yakin dengan kepimpinan sendiri, pilihlah salah seorang jadi calon Perdana Menteri. Atau adakah semua empat-empat tidak cukup meyakinkan hingga perlu bersembunyi di sebalik alasan ‘keselamatan’?" katanya.


Beliau mendakwa, hakikat sebenar Pas enggan menamakan calon ialah kerana tidak sehaluan dengan Bersatu, yang sudah pun menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri PN.


"Pas tidak berani menamakan calon Perdana Menteri kerana sedang berbalah dengan Bersatu. Bersatu sudah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi Pas masih mahu menonjolkan diri sebagai abang besar dalam PN," ujar Mahfuz.


Tambah beliau, alasan “risiko calon dijebak dengan jongkong emas atau dadah” hanyalah rekaan lucu untuk mengaburi ketidaksepakatan yang semakin ketara.


"Lucunya, mereka yang berkhutbah tentang kejujuran pun kini pandai berdrama seperti filem aksi. Pas bukan takut calon mereka diserang, Pas takut rahsia pertelingkahan mereka dengan Bersatu terbongkar,” tegasnya.


Mahfuz turut mengingatkan bahawa Pas pernah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri tanpa sebarang alasan keselamatan sebelum ini.


"Jadi jelas, bukan calon mereka yang tak selamat, tetapi politik mereka sendiri yang sedang tenat.


"Pas kini umpama pemandu lori yang hilang arah — katanya ada ‘berlori-lori calon’, tapi rupa-rupanya semua lori rosak tepi jalan," sindir Mahfuz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page