
Kenyataan terbaharu dari pimpinan Pas seperti Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda parti itu yang mahu meneruskan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yasin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, hal itu terjadi mungkin berdasarkan beberapa pandangan politik bahawa kedudukan PN cukup genting dan berisiko besar kehilangan banyak kerusi, terutama sekali kerusi kerusi Ahli Parlimen lompat dari Umno dan KEADILAN
"Sekiranya hal itu berlaku, tentunya Pas dengan berbekalkan kemenangan 18 kerusi parlimen, tidak akan mampu untuk mengulangi strategi sama sebagai “king maker” dalam tawar menawar bagi membentuk kerajaan
"Jadi kita lihat Pas sekarang ini sudah tidak peduli walaupun pujukan kepada Umno untuk aktifkan MN dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong apabila Presiden Umno sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama MN yang Pas sampaikan hanya kerjasama politik dangkal. Ini kerana Pas telah mengkhianati Umno dan sentiasa ‘main dalam beberapa kolam’. Namun demi survival politik, Pas relakan jua tindakan sebegitu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Salahuddin lagi, mungkin faktor itu menjawab mengapa Pas memilih untuk memberi fokus kepada 27 kerusi yang berkemungkinan bertembung dengan Umno sehingga ingin menamakannya sebagai “Kerusi Muafakat Nasional”.
Secara tidak langsung, katanya, ini membuka pekung sebenar Pas yang mementingkan diri sendiri dan meninggalkan komponen PN, Bersatu terkontang kanting.
"Kepada saya, sikap, pandangan dan kenyataan pimpinan Pas sejak kebelakangan ini tidak lebih daripada sekadar menyerlahkan tingkah laku gerombolan yang terlalu takut kehilangan jawatan lantaran seronok di puncak kuasa.
"Tidak mustahil Pas akan kembali berpelukan dengan Umno selepas PRU-15 dan meninggalkan Bersatu," katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pulai tersebut mahu penyokong pembaharuan dalam Bersatu memikirkan semula perjuangan mereka sekiranya Pas berkhianat sebagaimana parti Islam itu pernah mengkhianati Pakatan Rakyat sebelum PRU 14 lalu.
Begitu juga kepada rakyat Malaysia amnya yang menyokong Pas dalam pilihan raya lalu. Dengan kemungkinan Pas bersekutu kembali dengan Umno, kata Salahuddin, maka lebih baik mereka mengalihkan undi kepada Pakatan Harapan dalam PRU 15 ini.
"Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada penyokong Bersatu yang ikhlas meninggalkan Umno kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran Umno-BN, adakah mereka merelakan negara ini diperkotak katikkan lagi dengan permainan Pas ini ?
"Justeru itu, pada pendapat saya rakyat yang ikhlas menolak Umno demi Malaysia yang lebih baik perlulah bersama-sama dalam gerakan yang diperjuangkan Pakatan Harapan untuk perbetulkan kembali Malaysia agar berada di atas landasan tepat pemulihan ekonomi, pendidikan, membasmi kemiskinan, mewujudkan pentadbiran negara yang bersih dan berintegriti.
"Hanya PH yang mempunyai wawasan jelas dalam mengangkat kembali maruah bangsa Malaysia di mata dunia berbanding PN dan BN yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politik kepartian," katanya lagi.