Pas sanggup bersama Tun M, tidak berlaku era Tok Guru Nik Aziz
- Redzuan Shamsudin
- Jul 24, 2023
- 2 min read

Rakyat Kelantan diminta membuka mata seluas luasnya melihat tindak tanduk Pas yang tidak lagi konsisten dengan perjuangan apabila membawa bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berceramah di atas pentas parti itu.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, Tun Mahathir tidak akan dibawa berceramah sekiranya Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat masih memimpin negeri itu, kerana tindakan Tun yang menyekat dana kepada negeri Kelantan sewaktu pemerintahannya.
"Kita lihat hari ini apabila Mahathir berucap di atas pentas Pas negeri Kelantan. Orang Kelantan tahu ketika Tun jadi Perdana Menteri beliau telah mengambil sikap menghukum rakyat Kelantan
"Tetapi hari ini Pas tidak ada masalah. Perkara ini tidak akan berlaku ketika zaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz (masih hidup)," katanya dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kelantan, malam tadi.
Tambah Nik Nazmi, Kerajaan Persekutuan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebaliknya mengambil sikap berbeza apabila beberapa projek tebatan banjir mula dibina bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat negeri itu.
"Kerajaan yang kita ada hari ini berbeza. Kerajaan pusat sendiri bersedia membantu Kelantan. Projek tebatan banjir hari ini sudah pun mula.
"Ada kampung Tersang di Rantau Panjang, YB Siti Zailah tak berani nak turun. Kita turun bertemu orang kampung dan hari ini masalah air termenung di sana selesai, sekejap sahaja
"Saya minta pilihanraya kali ini cukup cukuplah kita beri peluang kepada Pas. Kita nak tengok sesuatu yang berbeza. Kita minta anak Kelantan, bila pulang mengundi mereka nak perubahan di Kelantan sebagaiman di negeri lain," katanya.
Sebelum itu, kata Nik Nazmi, Kerajaan Pas Kelantan yang telah memerintah selama tiga dekad semakin tidak peka terhadap kesusahan rakyat kerana telah terlalu lama diangkat sebagai pemerintah.
"Kita boleh melihat bagaimana parti itu lupa prinsip berkhidmat kepada rakyat, walaupun bercakap tentang agama mereka tidak dapat deliver kepada rakyat Kelantan.
"Sedangkan kita tahu orang Kelantan antara paling hebat, berniaga paling kecil sampai ke korporat didominasi orang Kelantan tetapi di negeri ini, kerajaan pada hari ini tidak dapat deliver kepada rakyat.
"Sebab itu kita minta dalam PRN kali ini orang Kelantan kena tunjuk bangkit menuntut sesuatu yang baru," katanya lagi.
Comments