Pas dinasihatkan tidak memasang angan angan terlalu tinggi untuk merampas negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Nasihat itu dilontarkan Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Adzman Kamaruddin sebagai menjawab kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi bahawa perkara itu bukan mustahil berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Tambahnya lagi, angan-angan Ahmad Yunus itu hampir mustahil kerana kemenangan Perikatan Nasional (PN) di beberapa kerusi Parlimen di Selangor kerana kempen fitnah, sentimen perkauman dan agama semata mata.
"Daripada parti tin milo, kini mampu berbelanja besar sehingga beratus juta ringgit daripada sumber yang meragukan untuk membayar 'influencer' (pempengaruh) berkempen di media sosial pada PRU15 khususnya TikTok.
"Maka, tidak hairanlah dakyah songsang PAS tersebar begitu pantas mempengaruhi pengundi yang cetek pengetahuan mengenai politik dan agama," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau turut berkata, KEADILAN Selangor akan mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada PRN akan datang berdasarkan prestasi semasa Kerajaan Negeri khususnya dari segi kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.
"Lihat perbandingan negeri Selangor dengan Kelantan atau Terengganu. Itulah batu asas untuk mengukur sejauh mana kecekapan pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan.
"Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk memperbaiki dan kerja melebarkan jalan di seluruh negeri.
"Ini menunjukkan tekad kerajaan negeri mengurus kemudahan asas terbaik untuk rakyat, supaya tidak menjadi model permukaan 'Planet Marikh' seperti yang berlaku di Kelantan," katanya.
Sementara itu tambahnya, prestasi menakjubkan di peringkat Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bekerja keras tanpa gaji juga dilihat dapat mempengaruhi sentimen rakyat.
Malah rakyat yang sebelum ini dimomokkan dengan pelbagai naratif dusta juga akhirnya sedar dengan pembohongan yang telah dibuat.
"Dunia mengiktiraf kebangkitan Malaysia dan melihat Kerajaan Perpaduan melakukan apa yang gagal dilakukan PAS selama lebih 30 bulan berada di Putrajaya," katanya.
Comments