Pas rakan politik tidak stabil, negeri sekecil Perlis pun gagal diurus — Faiz
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 2 min read

Pas disifatkan sebagai rakan politik yang tidak stabil dan berisiko tinggi untuk mana-mana gabungan, malah parti itu gagal membuktikan keupayaan mentadbir dengan baik walaupun di peringkat negeri, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil (gambar).
Menurut beliau, rekod membuktikan Pas sering menjadi punca perpecahan dalam hampir semua pakatan politik yang disertainya sejak lebih lima dekad lalu.
"Pas adalah bom jangka dalam mana-mana hubungan politik. Sejak 1973 hingga 2025, Pas telah menyertai sekurang-kurangnya tujuh pakatan utama, namun hampir kesemuanya tidak bertahan lama dan berakhir dengan konflik serta perpecahan," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Faiz berkata, situasi sama kini berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) yang didakwa semakin rapuh akibat sikap Pas yang mahu mendominasi gabungan tersebut.
"Umum mengetahui Pas menjadi punca perpecahan dan kali ini giliran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menjadi mangsa. Semuanya adalah untuk menghalalkan keghairahan Pas menjadi bos besar PN atau mana-mana pakatan politik," ujarnya.
Tambah beliau, selagi Pas berada dalam sesuatu gabungan, risiko ketidakstabilan dasar dan krisis kepercayaan akan sentiasa wujud.
"Ini bukan soal persepsi, tetapi fakta yang berulang kali berlaku. Pas ibarat ‘kambing apabila didekati, pasti ada yang lari kerana baunya’," katanya.
Faiz turut menegaskan bahawa tiada parti tunggal mampu mentadbir negara secara berkesan berdasarkan pengalaman 15 Pilihan Raya Umum, dan peluang Pas untuk memerintah negara amat berisiko.
Katanya, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Pas juga telah mengkhianati UMNO dengan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional.
Mengulas soal integriti, Faiz mendakwa Pas juga gagal memerintah secara bersih seperti yang dituntut oleh Islam, malah perkara itu diakui oleh Presiden Pas Hj Hadi Awang yang didakwa berkata, bahawa krisis politik Perlis timbul apabila banyak projek besar tidak mengikut peraturan dan terlibat dengan rasuah.
Faiz juga mengkritik prestasi ekonomi negeri-negeri pembangkang SG4 yang diterajui Pas-PN, yang disifatkan beliau sebagai lemah dan tidak memberangsangkan.
"Data Jabatan Perangkaan membuktikan negeri-negeri SG4, terutamanya Kelantan dan Perlis, menduduki tangga tercorot dalam ranking upah median sektor formal. Dari segi kemiskinan mutlak pula, Kelantan dan Kedah berada pada kedudukan paling bawah di Semenanjung Malaysia."
Menurut Faiz, kegagalan menarik pelaburan domestik dan asing turut membuktikan kelemahan pentadbiran Pas-PN di negeri-negeri berkenaan.
"Di Kedah, pelaburan tertumpu di lokasi seperti Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City yang mana agensi-agensi Persekutuan memainkan peranan utama dalam membawa masuk pelaburan.
"Oleh itu, dari sudut prestasi pentadbiran dan pengurusan ekonomi, ternyata Pas gagal. Pas terus membuktikan mereka tidak mampu memberikan suatu pemerintahan yang stabil, berkualiti dan berdaya maju, serta pro masyarakat Malaysia," katanya.
Beliau menegaskan bahawa masalah utama Pas berpunca daripada kepimpinan yang lebih mementingkan kepentingan diri berbanding kualiti dan kesetiaan kepada rakyat.
"Bagaimana nak diharapkan membela Melayu, apabila jawatan MB pun direbutkan, sepertimana jawatan Perdana Menteri sebelum ini. Ternyata, yang diperjuangkan Pas bukanlah orang Melayu, tetapi istilah Melayu dan Islam dipergunakan untuk kepentingan politik kepartian," katanya lagi.





