top of page

Pas Perlis tidak konsisten: Tolak jawatan Exco, mohon Penyelaras DUN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 12
  • 2 min read


Tindakan Pas memohon jawatan penyelaras di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana ADUN parti itu telah dipecat dipersoalkan, selepas Pas sebelum ini menolak pelantikan jawatan Exco dalam Kerajaan Negeri pimpinan Bersatu.


Bagi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), permohonan Penyelaras DUN itu telah menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi prinsip serta kejujuran politik Pas.


"Krisis politik Perlis kini memasuki fasa yang lebih membimbangkan apabila Pas yang sebelum ini menuduh Kerajaan Negeri pimpinan Bersatu sebagai ‘pengkhianat’ kini memohon jawatan penyelaras di tiga DUN yang terjejas akibat konflik dalaman parti itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, persoalan yang wajar direnung oleh ahli dan penyokong Pas ialah sama ada tindakan tersebut selari dengan pendirian parti berkenaan pada dua bulan lalu terhadap Bersatu.


"Jika kerajaan (Bersatu) tersebut dianggap tidak bermoral dan tidak wajar disertai, mengapa kini jawatan pentadbiran pula dimohon daripada pihak yang sama?" soalnya.


Mahfuz berkata, isu berkenaan bukan sekadar soal persaingan politik, sebaliknya melibatkan amanah dan kejujuran dalam perjuangan. Tindakan sebaliknya, hanya memperlihatkan Pas mementingkan diri.


"Rakyat di (DUN) Guar Sanji, Bintong dan Simpang Empat kehilangan wakil rakyat akibat krisis dalaman parti, dan kini mereka sekali lagi dijadikan mangsa apabila penyelesaian dicari melalui pelantikan politik, bukannya mandat rakyat," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan Islam menuntut kejujuran dan keikhlasan, bukan didorong oleh emosi atau kepentingan kuasa semata-mata.


"Ketaatan tidak boleh diminta daripada ahli jika prinsip berubah mengikut keadaan kuasa.


"Krisis ini wajar menjadi muhasabah kepada semua pihak bahawa politik yang tidak diurus dengan hikmah akhirnya bukan sahaja merosakkan parti, tetapi menjejaskan kepercayaan rakyat," katanya.


Untuk rekod, baru baru ini Pas Perlis mengemukakan permohonan untuk melantik penyelaras bagi tiga DUN yang tidak mempunyai ADUN iaitu Guar Sanji, Bintong dan Simpang Empat.


Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengesahkan surat permohonan untuk tujuan itu telah diterima dari Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali.


Mengulas permohonan tersebut MB Perlis berkata, Pas mencalonkan bekas MB yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji, menggantikan bekas ADUN kawasan itu, Mohd Ridzuan Hashim.


Manakala ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan pula sebagai penyelaras DUN Chuping dan ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil di DUN Bintong, katanya dalam laporan media.


Bagaimanapun, Kerajaan Negeri memutuskan untuk melantik penghulu sebagai pemantau di setiap Pusat Khidmat Menteri Besar yang ditubuhkan di tiga DUN berkenaan.


Lantikan penghulu merupakan langkah sementara dan setiap kawasan itu dikelolakan oleh Setiausaha Politik MB sehingga keputusan berkaitan tiga bekas ADUN di kerusi berkenaan diputuskan mahkamah, sama ada benar-benar kosong atau sebaliknya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page