Pas Perlis gadai prinsip serah jawatan MB kepada Bersatu?
- Abdul Rahim Razak
- 11 minutes ago
- 2 min read

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Parti Bersatu sebagai Menteri Besar (MB) Perlis yang baharu disifatkan sebagai bukti kegagalan dan kehilangan prinsip kepimpinan Pas di negeri itu.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (INTELEK), Ahmad Nadhir Yob berkata, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan besar terhadap keyakinan Pas berhubung barisan kepimpinan mereka sendiri, walaupun parti itu memiliki jumlah kerusi yang lebih besar.
"Hakikatnya, Pas memiliki jumlah kerusi lebih besar, jentera parti yang dominan serta barisan ADUN yang berpengalaman.
"Namun begitu, Pas memilih untuk menyerahkan jawatan tertinggi pentadbiran negeri kepada parti lain, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan dan keyakinan Pas terhadap pemimpin mereka sendiri

"Jika Pas sendiri tidak yakin pemimpin mereka layak menjadi Menteri Besar, bagaimana rakyat Perlis boleh yakin Pas layak memimpin negeri ini?" katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, tindakan tersebut mencerminkan percanggahan antara slogan dan prinsip yang sering dilaungkan Pas, khususnya berkaitan kepimpinan ulama dan Islam memimpin.
"Ulama dijulang ketika berkempen, tetapi diketepikan apabila tiba soal kuasa sebenar."
Ahmad Nadhir turut menyifatkan pendirian Pas yang sebelum ini lantang menuduh lawan politik sebagai tidak Islamik, sekular dan liberal kini bercanggah dengan tindakan mereka menyokong pelantikan Menteri Besar daripada Bersatu demi kekal berkuasa.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan krisis dalaman Pas di Perlis sejak beberapa tahun lalu yang menurutnya telah menyusahkan institusi Raja Perlis apabila konflik berlarutan sehingga memerlukan campur tangan Istana.
"Situasi ini tidak sepatutnya berlaku jika Pas benar-benar berpegang kepada prinsip dan disiplin politik yang matang," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar tersebut bukanlah satu penyelesaian krisis buat Pas, sebaliknya merupakan pengakuan kegagalan parti itu mempertahankan prinsip, maruah parti dan amanah rakyat.
"Kami menegaskan bahawa perlantikan ini bukan kemenangan Pas, sebaliknya adalah pengakuan kegagalan Pas sendiri dalam mempertahankan prinsip, maruah parti dan amanah rakyat.
"Rakyat Perlis berhak mendapat kepimpinan yang berprinsip, konsisten dan berintegriti. Bukan kepimpinan yang menjadikan jawatan sebagai alasan untuk menghalalkan segala kompromi," katanya lagi.





