Pas parti dominan gagal urus krisis di Perlis, bolehkah pimpin PN?
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai titik perubahan yang mendedahkan kegagalan sebenar gabungan itu diurus secara berdisiplin dan matang, khususnya melibatkan peranan Pas dan Bersatu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, krisis yang melanda PN tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada kegagalan Pas mengurus konflik dalaman serta kelemahan disiplin gabungan, manakala Bersatu pula mengambil kesempatan dalam keadaan politik yang berkecamuk.
"Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin menandakan satu fasa baharu yang menuntut kejujuran politik. Hakikatnya, krisis PN ini memuncak akibat kegagalan Pas mengurus krisis dalaman dan disiplin gabungan, manakala Bersatu pula memilih jalan oportunistik ketika keadaan berkecamuk," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, krisis politik di Perlis menjadi bukti paling jelas kegagalan kepimpinan Pas dalam mentadbir dan mengurus perbezaan kuasa walaupun negeri itu kecil dan mempunyai struktur pentadbiran yang mudah.

"Perlis adalah bukti paling jelas. Negeri kecil, struktur mudah, kerajaan diterajui Pas.
"Namun yang berlaku ialah Pas memecat ADUN sendiri, merosot majoriti, mencetuskan krisis SD, menyeret institusi dalam polemik, dan akhirnya menolak (memboikot) lantikan Exco selepas perkenan Raja, melantik ADUN Kuala Perlis sebagai Menteri Besar.
"Kerajaan Pas tumbang bukan kerana musuh, tetapi kerana kegagalan kepimpinan Pas mengurus perbezaan dan kuasa," katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz turut mengkritik tindakan Bersatu yang didakwa mengambil kesempatan daripada kekalutan tersebut tanpa menunjukkan kematangan sebagai rakan gabungan.
"Dalam kekalutan, Bersatu mengambil kesempatan tanpa mempamerkan kepimpinan gabungan yang matang, bergerak secara unilateral, mengheret ADUN dan membiarkan PN terdedah kepada perpecahan terbuka. Ini bukan kepimpinan kolektif, tetapi politik menunggu peluang," ujarnya.
Menurut beliau, gabungan PN akhirnya terperangkap dalam budaya politik tanpa disiplin, apabila Pas memilih pendekatan konfrontasi dan dominasi, manakala Bersatu pula mengamalkan politik oportunistik.
"Tekanan inilah yang akhirnya memaksa Tan Sri Muhyiddin berundur, bukan kerana kelemahan peribadi beliau tetapi kerana kegagalan gabungan dikawal oleh parti yang paling dominan," katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz mempersoalkan kewibawaan Pas untuk menerajui PN di peringkat nasional setalah gagal mengurus gabungan dan pentadbiran di peringkat negeri.
"Rakyat berhak tahu, jika Pas gagal mengurus Pas Perlis dan gagal mengemudi PN di Perlis, atas dasar apa Pas mendakwa layak menerajui PN di peringkat nasional?
"Kepimpinan gabungan menuntut kestabilan, kebijaksanaan dan keupayaan mengurus perbezaan bukan retorik, bukan dominasi," tegasnya.
Pas semalam melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membayangkan akan mengambil alih teraju kepimpinan PN selepas Muhyiddin berundur sebagai pengerusi dan seorang lagi pemimpin kanan Bersatu Azmin Ali turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN.









Comments