top of page

Kerajaan hargai peranan senator perluas perbincangan isu MA63 - Mustapha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2h
  • 1 min read

Kerajaan MADANI menghargai peranan senator dalam memperluaskan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi teras pembentukan negara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, penglibatan senator termasuk dari Semenanjung membantu memaknai semula perkara-perkara teras yang membentuk Persekutuan, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan antara wilayah.


"Semakin ramai yang mahu membincangkan isu MA63 ini dan kita telah dapat mengangkatnya sebagai agenda nasional.


"Ini satu perkembangan yang baik untuk kita mula memaknai isu-isu berkaitan MA63 yang menjadi teras kepada pembentukan Malaysia," katanya di Dewan Negara pada Rabu pada sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.


Mustapha sementara itu turut memaklumkan dewan bahawa Kerajaan MADANI sudah menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dengan dipengerusikan Perdana Menteri.


Setakat ini jelasnya, 13 daripada 29 perkara yang dibincangkan telah diselesaikan, termasuk sembilan dimuktamadkan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.


Selain itu tambahnya, Kerajaan turut melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan MA63 melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) pada 28 Januari lalu.


Pelancaran itu sebagai platform digital rasmi bagi memudahkan rakyat mendapat maklumat berhubung status pelaksanaan, perundingan serta latar belakang perundangan berkaitan hak Sabah dan Sarawak.


"Sehingga kini, lebih 6,000 pengguna telah mengakses portal itu bagi memantau perkembangan pelaksanaan perjanjian berkenaan," jelas Mustapha.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page