Konflik Asia Barat: Kabinet bincang usaha bawa pulang pelajar terkandas
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan memberi jaminan keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat sentiasa menjadi keutamaan, susulan konflik yang sedang memuncak di rantau berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPKT) Adam Adli Abdul Halim berkata, kerajaan telah membincangkan usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia terutama pelajar yang terkandas di wilayah berkenaan.
Selain itu jelasnya, kerajaan melalui Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di negara terlibat telah mengaktifkan pelan kecemasan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia terus terpelihara.
"Alhamdulillah, kedutaan kita sentiasa mempunyai jalan dan ikhtiar untuk memastikan keselamatan warga Malaysia di mana-mana kawasan yang sedang berlaku konflik sentiasa terjamin.
"Kerajaan sedang menggerakkan segala usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan mereka. Dalam mesyuarat Kabinet sebentar tadi, kita turut dimaklumkan dan membincangkan soal membawa pulang warga Malaysia yang terkandas," katanya dipetik.
Terdahulu beliau merasmikan Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar (PUO) sempena Majlis Iftar Perdana bersama warga politeknik itu di Ipoh pada Rabu.
Sementara itu Adam Adli menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat supaya segera melaporkan diri kepada kedutaan serta mematuhi setiap arahan keselamatan yang dikeluarkan.
Beliau turut menggesa ibu bapa bertenang dan mendapatkan maklumat sahih melalui Wisma Putra selain sentiasa berhubung dengan anak masing-masing.
"Kita mempunyai hubungan baik dengan negara-negara yang sedia membantu. Itu jaminan yang boleh diberikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang khuatir terhadap keselamatan, terutama pelajar kita di luar negara.
"Kita pernah melalui saat-saat genting seperti ini dan Alhamdulillah berjaya membawa pulang rakyat dengan selamat," tambahnya.




Comments