
Idea menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang tidak henti henti dilontarkan pemimpin Pas kepada UMNO lebih kerana ingin mengejar kepentingan politik.
Hal itu dinyatakan oleh ADUN Seri Menanti, Ust Muhammad Sufian Maradzi dari UMNO.
Menurut beliau, pengalaman partinya bekerjasama dengan Pas pada era 2019 - 2022 lalu memberi pengajaran pahit kerana sifat Pas yang oportunis.
Pas yang pernah bersama UMNO dalam MN pada waktu itu membuat kerjasama pula dengan Bersatu yang tidak sebulu dengan UMNO. Pas juga katanya, pernah mencetuskan pelbagai isu dalam kerjsama Pakatan Rakyat sebelumnya.
"Dahulu Pas bukan sahaja pernah mencabuli kerjasama dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional tetapi mereka juga mencabuli kerjasama dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat kerana kepentingan motif mereka adalah berdasarkan keuntungan mereka sahaja .
"Ini bukti kukuh bahawa Pas bukanlah rakan politik yang baik dan amanah dalam janji mereka," kata beliau di Facebook.
Sebelum itu, kata Ust Sufian, Pas pernah bekerjasama dengan DAP dan sanggup menggunakan dalil Al Quran dan Hadis semata mata mahu mengaburi ahli mereka demi menghalalkan kerjasama dengan musuh politik.
"Hari ini Pas kembali bersuara dan mahu menjalinkan kembali hubungan mereka bersama UMNO tetapi meletakan syarat dengan membelakangkan Presiden UMNO.
"Persoalannya, kenapa Pas secara tiba-tiba mahu berbaik kembali dengan UMNO? Adakah apa yang mereka buru bersama BERSATU sudah mencapai kata putus dan tidak menguntungkan mereka lagi?" tanyanya.
Meskipun hujah Pas demi menjaga kepentingan Melayu-Islam, kata Sufian, tetapi keikhlasan politik lebih perlu diutamakan untuk membentuk sebuah gabungan politik yang berjaya.
Pas katanya, tidak boleh melaksanakan kerjasama seperti mana MN sebelum ini.
"Pas perlu ingat, asas politik di negara ini bukan bersandarkan semata mata kerana Islam sahaja tetapi mestilah berteraskan kepada konsep syumul dan keadilan kepada semua rakyat Malaysia," katanya lagi.
Kelmarin Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin membayangkan bahawa kerjasama antara parti itu dan UMNO boleh dihidupkan kembali sekiranya pemimpin tinggi UMNO sekarang tidak lagi menerajui kepimpinan parti tersebut.
Idea berkenaan dibantah oleh pemimpin UMNO kerana Pas tidak perlu campurtangan urusan dalaman parti saingannya.
Comments