Pas kata Kerajaan Perpaduan 'tak Islamik', mengapa sokong BN di Johor?
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

‘Arahan’ supaya ahli Pas menyokong UMNO-Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menimbulkan persoalan mengenai konsistensi perjuangan Islam yang dibawa parti berkenaan, khususnya apabila terdapat calon Islam daripada Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menentang calon bukan Islam daripada MCA-BN.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu agak pelik kerana UMNO dan Pas di Kelantan serta Terengganu bertahun-tahun bersaing dan ‘bertelagah’ mengenai parti mana lebih Islamik.
Perkara itu, katanya kelihatan janggal apabila timbul isu mahu bekerjasama pada PRN Johor kali ini.
"Ideologi politik mereka berbeza. UMNO memperjuangkan nasionalisme, manakala Pas memperjuangkan Islam," kata Zawawi ketika dihubungi Suara Keadilan.
Dalam pada itu, Ustaz Zawawi juga menolak kritikan Pas terhadap Kerajaan Perpaduan sebelum ini yang didakwa tidak Islamik, kerana tiba tiba parti itu mengarahkan ahlinya menyokong BN, yang merupakan parti paling kanan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan.

Hal itu, katanya menunjukkan hipokrasi Pas dan mendedahkan sifat mereka yang mengutamakan kuasa berbanding prinsip perjuangan.
Dengan perkembangan terbaharu ini, kata Zawawi, slogan 'Islam terancam' dilaungkan Pas tidak lagi boleh diteruskan kerana tiada ancaman nyata daripada parti kerajaan sebagaimana dimomokkan.
"Bagi saya, untuk kita membina sebuah negara bangsa yang aman, Perlembagaan (negara) telah memadai (dan) cukup kuat untuk membela dan menjaga kepentingan orang Melayu serta agama Islam.
"Kalau kita berpegang kepada prinsip-prinsip ini, saya rasa masyarakat tidak perlu bimbang tentang ancaman kaum tertentu untuk mendominasi dan sebagainya," ujarnya.
Menurut Ustaz Zawawi lagi, perkara yang penting bagi sesebuah kepimpinan atau gabungan orang Islam ialah memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara dan kebajikan dilindungi.
"Contohnya Kerajaan PH di Selangor telah membuktikan bahawa kita mampu menjaga kepentingan rakyat dengan kebajikan-kebajikan dan program-program yang membantu golongan miskin dan golongan yang memerlukan bantuan.
"(Ia) bukan (dilakukan) berdasarkan kepada kaum, tetapi kepada faktor kemiskinan tertentu," ujar beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis.




Comments