'Pas hanya wadah politik, bukan akidah' - Ustaz Fakhrulrazi
- Suara Keadilan
- Jun 17
- 1 min read

Mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menegur keras pendekatan semasa Pas dengan menyifatkan kesilapan utama parti itu adalah membawa fahaman bahawa pihak selain daripada mereka dianggap tidak betul atau salah.
''Sedangkan Pas ini hanyalah sebuah wadah politik, bukannya akidah,'' tegasnya yang secara jelas menyindir parti tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap sikap berdiam diri pimpinan dan penyokong parti itu terhadap kesilapan yang menguntungkan kepentingan politik mereka.
''Contoh paling mudah adalah isu fitnah liwat (fitnah diulang) terhadap Datuk Seri Anwar.
''Itu merupakan satu dosa besar yang dinamakan sebagai dosa khazaf, tapi sehingga hari ini, tiada seorang pun pemimpin Pas termasuk kalangan ulama dan presidennya sendiri, tampil menegur perbuatan berkenaan,'' bidas beliau.
Dalam pada itu, Mohd Fakhrulrazi terus mengecam tindakan parti itu yang dianggap sanggup menggadai prinsip dan kesucian Islam demi kepentingan politik.
Katanya, Presiden Pas Hj Abdul Hadi Awang pernah menulis buku berkenaan khazaf yang mempertahankan Anwar daripada tuduhan tidak berasas, namun kini parti itu dilihat telah berubah.
''Soal taksub pada agama bagi saya itu tiada masalah.. tapi biarlah pada perkara yang betul, bukan yang salah.
''Contohnya, apabila sesuatu tindakan dilakukan oleh pihak mereka, ia dianggap betul, tetapi apabila tindakan sama dilakukan pihak lain, ia pula dianggap salah.. itu tidak betul,'' katanya sambil menambah ia menjadi lebih bahaya apabila mencemarkan nama Islam.
Justeru, beliau berpendapat, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pembubaran parti yang menggunakan nama agama tetapi menyalahgunakannya demi kepentingan politik.
Katanya, apabila kesilapan atau salah laku dilakukan oleh penyokong Pas yang mengaitkan diri dengan nama Islam, ia akhirnya memberikan gambaran negatif yang terhadap Islam di mata masyarakat bukan Islam.
Comments