top of page

Pas guna alasan had umur untuk singkir Muhyiddin?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 25
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Cadangan Pas yang menetapkan syarat Perdana Menteri mestilah berusia bawah 70 tahun dilihat sebagai isyarat politik halus menolak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicalonkan sebagai Perdana Menteri gabungan Perikatan Nasional (PN).


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, walaupun nama tidak disebut secara langsung kenyataan itu jelas merujuk kepada faktor usia Muhyiddin yang kini melepasi 70 tahun.


"Cadangan ini datang ketika PN sedang berdepan polemik dalam menentukan calon Perdana Menteri mereka. Dari sudut politiknya, mesej itu lebih kepada tidak bersetuju dengan Muhyiddin.


"Bahasa mudahnya mereka tidak mahu Muhyiddin, cuma tidak disebut terang-terangan, sebaliknya menggunakan alasan umur," katanya selepas melancarkan Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) Peringkat Parlimen Tambun di Kampung Simee, semalam.


Keputusan Bersatu menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mewakili PN baru-baru ini dibidas beberapa pemimpin Pas susulan perkara itu tidak dibincangkan dan dipersetujui secara bersama dalam gabungan itu.


Presiden Pas, Hj Hadi Awang ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-71 menegaskan calon sesuai untuk diangkat sebagai Perdana Menteri bagi gabungan itu mestilah berusia bawah 70 tahun, sihat dan gagah untuk memimpin negara.


Beliau kemudian menjelaskan kenyataannya merujuk kepada dirinya sendiri.


Sementara itu, Muhammad Kamil menegaskan kriteria utama memilih seorang pemimpin tidak boleh hanya diukur melalui faktor usia, sebaliknya ia mestilah berdasarkan kemampuan bekerja, kecerdasan, tahap kesihatan serta kefahaman mendalam terhadap keperluan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page