top of page

Pas ghairah kejar kuasa, gagal tonjolkan tokoh berwibawa memimpin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Sejarah politik Pas jelas membuktikan parti itu lebih cenderung mengejar kuasa berbanding menunjukkan keupayaan memimpin negara secara matang, berprinsip dan bertanggungjawab


Penerangan KEADILAN Cabang Kepong, Muhammad Zahid Hassan berkata, Pas jarang dilihat muncul sebagai peneraju utama dalam mana-mana gabungan politik sama ada Pakatan Rakyat (2008 - 2014) mahu pun Perikatan Nasional ketika ini, sebaliknya lebih selesa memainkan peranan sebagai pengikut kepada pihak yang membuka laluan ke tampuk kekuasaan.


"Jika ditelusuri rekod politiknya, Pas sering menukar rakan dan pendirian daripada Pakatan Rakyat ke Perikatan Nasional tanpa penjelasan prinsip yang meyakinkan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah kenyataan itu, corak politik sedemikian memperlihatkan kegagalan Pas membina hala tuju kepimpinan negara yang konsisten, inklusif dan realistik dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

 Muhammad Zahid Hassan
 Muhammad Zahid Hassan

KEADILAN Kepong turut menyuarakan kebimbangan apabila Pas didakwa kerap memperalatkan sentimen agama sebagai modal politik bagi menutup kelemahan tadbir urus, prestasi ekonomi serta kegagalan menjaga kebajikan rakyat, khususnya di empat negeri yang ditadbir oleh parti itu.


"Agama seharusnya menjadi sumber nilai dan penyatuan, bukannya alat politik untuk menakutkan rakyat atau menghalalkan kegagalan pentadbiran," tegas Zahid.


Menurut beliau, kepimpinan sebenar tidak boleh diukur melalui retorik moral atau slogan agama semata-mata, sebaliknya melalui kecekapan mengurus negara, kebertanggungjawaban kepada rakyat serta komitmen terhadap keadilan sosial.


Dakwaan bahawa Pas tidak mampu memimpin negara, menurut kenyataan itu lagi, diperkukuhkan dengan perkembangan terini yang mana parti itu gagal menamakan walaupun seorang calon pun sebagai pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui Perikatan Nasional.


"Kegagalan ini membuktikan Pas bukan sahaja ketandusan kepimpinan nasional, malah tidak berani menawarkan tokoh sendiri untuk memimpin, sebaliknya terus bergantung kepada pihak lain demi kelangsungan kuasa," kata Zahid yang juga merupakan penerangan Angkatan Muda KEADILAN Kepong.


Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani memimpin ke hadapan dengan dasar yang jelas dan berorientasikan rakyat, bukannya parti yang sekadar menumpang kuasa dan menyuburkan politik perpecahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page