top of page

Henti hasutan label “Kuil Haram”, tubuh jawatankuasa khas selesaikan isu - Thiban

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI digesa mengambil tindakan tegas dan segera bagi menangani polemik berterusan di media sosial melibatkan pelabelan kuil Hindu sebagai “kuil haram” secara semberono.


Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam (gambar), berkata trend berkenaan bukan sahaja mengelirukan fakta, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.


"Saya memandang serius polemik berterusan di media sosial yang melibatkan isu kuil Hindu, khususnya trend melabel kuil sebagai ‘kuil haram’ secara semberono dan berunsur hasutan.


"Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja mengelirukan fakta, malah berpotensi menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.


Tegas beliau, tidak semua kuil dibina secara tidak sah, sebaliknya majoriti kuil mempunyai sejarah panjang sejak zaman penjajahan British khususnya di kawasan ladang.


"Kuil-kuil ini wujud secara sah pada ketika itu, namun sehingga hari ini masih berdepan masalah pemilikan tanah akibat kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan isu pewartaan dan pemberimilikan tanah secara tuntas."


Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa isu berkenaan perlu diselesaikan secara adil dan berlandaskan undang-undang, bukannya melalui kecaman atau hasutan di ruang maya yang boleh mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.


Dalam masa yang sama, Thiban turut menegaskan bahawa pembinaan kuil baharu tanpa kebenaran di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan tidak wajar dipertahankan.


"Saya menegaskan tidak wajar mempertahankan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membina kuil baharu di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa sebarang kebenaran dan tanpa bukti sejarah kewujudan kuil tersebut.


"Mana-mana pembinaan baharu yang tidak mempunyai asas sejarah berkaitan penempatan ladang perlu disiasat dengan teliti dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil mengikut undang-undang," katanya.


Menurut beliau lagi, bagi mengelakkan kekeliruan dan manipulasi isu agama, dicadangkan kerajaan mewujudkan satu garis panduan nasional merangkumi pemutihan status kuil sedia ada, pembinaan kuil baharu serta pengurusan dan operasi rumah ibadat.


Selain itu, Thiban turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rumah ibadat dan pakar perundangan bagi menangani isu kuil dan tanah secara menyeluruh.


Katanya, Malaysia hanya akan kekal aman dan stabil jika isu sensitif ditangani dengan kebijaksanaan, keadilan serta berpaksikan undang-undang, bukan dengan sentimen, kebencian dan provokasi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page