Kembali ke sekolah: Wanita KEADILAN Kuantan santuni anak yatim, asnaf
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Bagi menyahut saranan Ketua Wanita KEADILAN Pusat yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, Wanita KEADILAN Cabang Kuantan meneruskan misi menyantuni warga pendidikan sempena permulaan sesi persekolahan baharu tahun 2026 menerusi program kebajikan bersama anak yatim dan asnaf.
Melalui Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri, program santunan kali ini melibatkan seramai 15 orang penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf Permata Al-Kauthar, Kuantan, berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Program tersebut, kata beliau dilaksanakan pada 18 Januari lalu dengan membawa anak-anak berkenaan mendapatkan pakaian sekolah baharu di Pasaraya Sakan, Jalan Gambang.

"Bersama pasukan Wanita KEADILAN Cabang Kuantan, anak-anak yatim dan asnaf ini diberi peluang memilih sendiri keperluan persekolahan mereka termasuk baju sekolah, tudung, kasut, beg sekolah serta peralatan alat tulis.
"Rata-rata pelajar yang terlibat kelihatan amat teruja dan gembira kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka menerima tajaan pakaian sekolah secara lengkap, sekaligus melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas inisiatif Wanita KEADILAN Kuantan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Rumah Anak Yatim dan Asnaf Permata Al-Kauthar Kuantan, Mahadi Deraman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wanita KEADILAN Kuantan atas keprihatinan yang ditunjukkan.
"Pusat ini merupakan institusi berdaftar yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan dan kini telah beroperasi selama 10 tahun sejak ditubuhkan pada 2015.
"Kami amat menghargai komitmen Wanita KEADILAN Kuantan yang sentiasa memilih pusat ini sebagai penerima manfaat program kebajikan," katanya.
Turut hadir menjayakan program berkenaan ialah Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Ketua Srikandi KEADILAN Kuantan, Siti Samihah Shaik Mohd Zeferi.









Comments