Pas double standard hentam kerajaan isu kematian Zara, 'membisu' isu Ahmad Faris
- Suara Keadilan
- 59 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemimpin Pas menyalahkan Kerajaan Perpaduan dalam isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sehinggakan terlupa tragedi kematian pelajar di sekolah agama kendalian Kerajaan Negeri Kelantan yang berlaku pada 2013 lalu.
Isu itu kini kembali panas apabila pihak keluarga pelajar sekolah agama, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia di sebuah sekolah agama di Kok Lanas menuntut siasatan semula bagi mencari pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anak mereka, sebagaimana keputusan inkues pada 2016 lalu.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Kelantan, Mazalina Ibrahim, pembangkang Pas sepatutnya memperjuangkan isu kematian Ahmad Faris sama vokalnya sebagaimana mereka memperjuangkan isu Zara.
Katanya, Pas yang membawa keadilan Islam tidak seharusnya 'memilih bulu' dalam hal tersebut.
"Dia (Pas) nak tutup kelemahan tempat sendiri (negeri sendiri). Dia cari kelemahan di tempat orang lain.
''Nampak gagal lah dia (Pas) kalau dia besarkan isu (kematian Faris), sebab (kejadian) berlaku di negeri sendiri,'' dakwanya.
Menurut Mazalina, berbeza dengan kes Zara yang boleh menaikkan populariti Pas, maka pemimpin parti itu menghentam Kerajaan Perpaduan termasuk di Dewan Rakyat dengan menggambarkan sekolah di bawah kendalian kerajaan sudah kurang selamat.
"(Dalam hal ini) Pas lebih kepada nak menyalahkan Kerajaan Perpaduan (dan) nak cari salah kita.
''Kalau kita tengok (kes-kes buli lalu) yang melibatkan kematian. Ini bukanlah kes pertama berlaku.. tapi mereka saja nak cari kelemahan Kerajaan MADANI.
''Bagi saya, mereka sengaja menimbulkan pelbagai provokasi untuk rakyat nampak kita ini lemah dari segi gerak kerja,'' katanya.
Mengulas isu sama, Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kota Bharu, Syahiran Muhammad berkata, Pas bersikap double standard dalam isu kematian Zara berbanding kematian Faris yang melibatkan Kerajaan Negeri Kelantan.
"Kes Wan Ahmad Faris ini.. saya pun mengikutinya..tapi tidak diceritakan (oleh Pas) isu ini. Jadi ini dilihat double standard," katanya kepada Suara Keadilan.
Justeru, beliau menggesa Pas tidak lagi bermain retorik dan memanaskan isu isu semasa. Pas, katanya, perlu bertindak sebagai kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan negeri.
"Saya menggesa kerajaan Kelantan di bawah Pas menunjukkan potensi sebenar mereka untuk mentadbir negeri sebab mereka sudah lama mentadbir. Tunjuk la potensi dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan perancangan," katanya lagi.
Isu kematian Ahmad Faris kembali hangat apabila pihak keluarga memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Julai lalu, dan akan disebut kali pertama di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Ogos ini.
Pihak keluarga juga mendesak siasatan polis dibuka semula, dan siasatan tidak lagi dikendalikan oleh pasukan penyiasat dari Kelantan, sebaliknya pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, memandangkan kes tersebut adalah berkepentingan awam.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama sebuah sekolah agama di Kok Lanas.
Mayat dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada 2016 memutuskan kematian itu adalah dari perbuatan bunuh oleh individu yang identitinya tidak dikenal pasti, sekali gus menolak kemungkinan adik Wan Ahmad Faris bunuh diri.
Namun kes itu akhirnya ditutup sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) pada tahun 2020.