Pas dilihat tidak mampu perjuangankan agenda Hudud - Dr Mazlan



Kegagalan Pas meneruskan pembentangan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) di Parlimen yang membuka laluan kepada pelaksanaan Hudud di negeri-negeri Melayu Kelantan dan Terengganu mengecewakan para penyokong parti itu.


Bagi penganalisis politik Dr Mazlan Ali, pengundi terutama di dua negeri yang mempunyai Undang-undang Jenayah Syariah II seperti Kelantan dan Terengganu akan berbelah bahagi untuk terus memberi undi kepada Pas yang telah menjadi kerajaan pusat tetapi tidak mampu meneruskan agenda perjuangan mereka sebelum ini


"Kalau dulu kita tengok isu-isu yang Pas perjuangkan umpamanya nak bawa RUU 355 (Hudud), sekarang ini kita lihat Pas agak senada dengan lain-lain parti kerana dalam Perikatan Nasional (PN) sendiri mereka (Pas) 'tentang' soal Hudud. Bukan setakat itu sahaja, isu-isu ringan seperti (tulisan) Jawi pun mereka diam.


"Berlaku percanggahan dalam PN yang bertentangan dengan prinsip Pas dan pengundi-pengundi atas pagar ini akan melihat Pas tidak lagi mampu untuk perjuangan isu-isu yang lama. Jadi saya lihat mereka mungkin akan cari alternatif, maksudnya lawan kepada Pas atau Umno, yang mereka (rakyat) akan beri undi," katanya kepada Suara Keadilan.


Dalam pada itu, Dr Mazlan tidak menolak kemungkinan pengundi-pengundi atas pagar di Pantai Timur akan mengubah haluan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dan tidak lagi menyokong Pas. Hal itu katanya, kerana Pas dilihat mula bersikap liberal, terutama ketika menyokong pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun yang mereka label liberal sebelum ini.


"Saya rasa sudah pasti akan berubah sebab Pas tidak konsisten walaupun sebelum ini Pas tegas mempertahankan Islam, tetapi bila mereka dapat kuasa mereka tidak tekankan lagi isu tersebut.


"Pada PRU 15 Pas susah untuk menjawab isu. Sekarang mereka tak boleh guna isu-isu ini (kematian Adib, Hudud, pemandu mabuk) takut jadi back fire pada mereka, masa berkuasa tak bersuara kenapa sekarang nak bersuara," katanya.


Untuk rekod, agenda Hudud telah digunakan Pas sejak 1980an untuk memastikan survival mereka di kawasan Melayu. Malah agenda itu juga menyebabkan Umno dikafirkan oleh parti berkenaan.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio