Pas bukan pemegang ‘cop halal’ politik, Haji Hadi dibidas dakwa parti lain tidak amal Islam


Pas tidak sewajarnya menjadikan Islam sebagai hak eksklusifnya dengan meletakkan parti itu sebagai penentu ukuran “halal” dan “tidak halal” dalam gelanggang politik, demikian kata Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata Pas membuat hak membuat penilaian terhadap mana-mana rakan politik, namun kenyataan Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan penamatan kerjasama dengan Bersatu dengan isu prinsip syariah sebagai satu dakwaan berat.
“Persoalan yang perlu dijawab ialah, siapakah yang memberikan hak kepada Pas untuk bertindak sebagai badan pensijilan atau ‘cop halal’ politik dalam negara ini?” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas tulisan Minda Presiden Pas oleh Abdul Hadi di Facebook yang bertajuk “Pas Tidak Pisahkan Politik Daripada Islam (Al-Din)”.
Dalam tulisan itu, Abdul Hadi antara lain menjelaskan bahawa keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan Bersatu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk dakwaan berlaku pelanggaran prinsip syariah, kemungkaran politik serta kegagalan memenuhi tuntutan perpaduan umat.
Abdul Hadi berkata, Pas tidak memisahkan politik daripada Islam kerana politik menurut perspektif Islam adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Presiden Pas itu turut menegaskan bahawa keputusan politik parti tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan prinsip, bukan semata-mata kepentingan kuasa atau pilihan raya.
Mengulas perkara itu, Mahfuz berkata Pas tidak wajar memberikan gambaran seolah-olah hanya parti itu berada di landasan Islam manakala pihak lain pula menyimpang daripada prinsip agama.
“Islam bukan milik Pas. Islam adalah agama Allah yang menjadi pegangan lebih dua bilion umat manusia dengan pelbagai latar belakang, mazhab, pandangan dan pendekatan politik,” katanya.
Menurut beliau, sejarah Islam sendiri menunjukkan wujud perbezaan pandangan dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW berkaitan urusan politik dan pentadbiran, namun perbezaan itu tidak dijadikan alasan untuk memonopoli kebenaran agama.
Mahfuz turut membangkitkan persoalan mengenai hubungan politik Pas dan Bersatu sebelum ini yang berlangsung rapat menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Jika benar Bersatu telah lama melanggar prinsip syariah seperti yang didakwa hari ini, mengapa Pas begitu lama mempertahankan kerjasama tersebut?” soalnya.
Beliau berkata rakyat berhak mempersoalkan sama ada isu yang dibangkitkan itu benar-benar berkaitan prinsip agama atau muncul selepas hubungan politik antara kedua-dua parti berdepan ketegangan.
“Adakah Pas hanya menyedari pelanggaran syariah itu setelah hubungan politik menjadi tegang dan berlaku pertikaian mengenai kuasa serta pembahagian kerusi?” katanya.
Mahfuz berkata ukuran politik Islam bukan berdasarkan siapa paling banyak menggunakan istilah agama atau memetik ayat al-Quran, sebaliknya dinilai melalui tindakan dan hasil pentadbiran.
“Ukuran sebenar politik Islam ialah sejauh mana nilai Islam berjaya diterjemahkan dalam kehidupan rakyat melalui keadilan dalam pentadbiran, integriti dan tadbir urus yang baik, penolakan rasuah dan salah guna kuasa, pembelaan terhadap golongan miskin dan terpinggir, pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat, serta perpaduan yang mengharmonikan masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
“Pas berhak mempertahankan pendiriannya. Pas berhak menjelaskan keputusan politiknya. Tetapi Pas tidak berhak memonopoli Islam dan menjadikan dirinya penentu mutlak kebenaran politik umat Islam."
Mahfuz berkata rakyat kini semakin matang dalam menilai parti politik dan tidak lagi bergantung kepada slogan semata-mata.
“Mereka menilai berdasarkan amanah, prestasi, kejujuran, keupayaan mentadbir dan kesungguhan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan Islam tidak sepatutnya dijadikan alat dalam persaingan politik.
“Islam terlalu besar untuk dimiliki oleh satu parti politik. Syariah terlalu mulia untuk dijadikan alat menghalalkan kawan serta mengharamkan lawan mengikut keperluan politik semasa,” katanya.




Comments