Pas bersama kleptokrat, pedagang agama - Mahfuz



Tindakan Pas bersekongkol dengan pemimpin Umno yang masih terpalit pelbagai tuduhan rasuah tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang berfikiran waras.


Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu Pas bersungguh-sungguh menafikan mereka bekerjasama dengan BN dan meletakkan calon di setiap kerusi Melayu atau campuran menentang Pakatan Harapan (PH).


Katanya, Pas ketika itu berjaya mendapatkan undi rakyat dengan imej perjuangan suci mereka tetapi kemudian menggunakan mandat yang diperolehi untuk bekerjasama pula membebaskan kleptokrat.


"Pas menafikan sebelum ini mereka bersama kleptokrat. Kononnya kalau bersama, lebih baik bubar Pas daripada menyokong pengkhianat rakyat. Tetapi hari ini mereka angkat kembali pengkhianat yang menguasai kerajaan di bawah pemerintahan PM Muhyiddin sebagai permulaan untuk bebaskan kleptokrat daripada kes-kes rasuah.


"Inilah yang dinamakan pedagang agama. Mereka (Pas) sanggup bersatu (dalam Perikatan Nasional). Sebab itu skandal yang dilakukan pimpinan Pas tidak diambil tindakan oleh Pas Pusat," katanya kepada Suara Keadilan.


Justeru, Mahfuz meminta ahli dan penyokong Pas bermuhasabah serta menilai perjuangan parti agama itu yang kebelakangan ini mempunyai 'saham besar' dalam pembebasan beberapa 'jerung' perasuah di mahkamah.


Mengulas pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sebelum ini dianggap Pas sebagai liberal, Mahfuz berkata, bukan sahaja ahli Pas di negeri kelahirannya Kedah, malah di seluruh negara terkejut dengan sokongan Pas itu.


Katanya, dukungan Pas ke atas pelantikan Datuk Azhar Azizan@Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said yang diusulkan Muhyiddin membuktikan parti itu telah bersetuju dengan agenda liberal.


"Saya lihat bukan sahaja di Kedah tetapi seluruh Malaysia ahli-ahli Pas terkejut dengan perubahan sikap yang menjurus ke arah liberal.

"Dulu Pas kecam Azhar waktu PH lantik dia jadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi hari ini Pas sokong pula orang yang dia kecam. Dan saya lihat rata-rata ahli Pas tidak gembira dengan perkembangan ini.


"Dulu masa saya keluar Pas, pernah dikatakan Mahfuz orang sudah lama mati cuma baru nak ditanam sahaja kerana melanggar sumpah laknat, baiah dan sebagainya.


"Datuk Kamaruddin Jaafar dilabel seolah-olah menceraikan isteri dengan talak tiga. Tetapi sekarang Pas terima (Kamaruddin sebagai sekutu). Membuktikan sebenarnya tiada masalah (langgar baiah) keluar Pas. Dan tindakan Pas ini menunjukkan bahawa dakwaan saya betul kerana mereka ini liberal (pragmatis)," katanya.


Bagaimanapun Mahfuz berpendapat, rakyat semakin bijak menilai putar belit Pas, khususnya di negeri lingkaran Melayu, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Mereka tidak lagi mudah termakan retorik politik. Biarpun kelihatan penyatuan Pas dan Umno agak kuat namun, katanya belum tentu pengundi kedua-dua parti akan mengundi mereka sekali lagi dalam PRU ke 15.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio