Pas belum layak tadbir negara berbilang kaum - Dr Xavier


Mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Xavier Jayakumar mempersoalkan sama ada Pas benar-benar bersedia mentadbir Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama sekiranya parti itu berjaya menguasai Putrajaya.
Beliau yang baru kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata persoalan itu perlu dinilai berdasarkan rekod pentadbiran, data pembangunan serta pendirian Pas mengenai Perlembagaan, bukannya semata-mata retorik politik.
Beliau berkata, berdasarkan apa yang didengarinya sepanjang Muktamar Pas ke-72 di Kelantan, beliau belum yakin parti itu mempunyai pendekatan pemerintahan yang cukup inklusif untuk sebuah demokrasi majmuk.
"Berdasarkan bukti yang ada sekarang, jawapannya belum lagi (mampu tadbir) dan tidak tanpa jaminan sebenar," katanya dalam kenyataan bertajuk 'Can Malaysians Trust PAS?'
Dr Xavier pernah menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen bebas.
Dan kepulangannya disahkan dalam laporan media pada Ogos lalu, selepas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak tokoh dan anggota lama parti kembali menyertai perjuangan reformasi.
Justeru itu, kritikan Dr Xavier terhadap Pas kali ini bukan sekadar pandangan seorang pemerhati politik sebaliknya datang daripada bekas anggota Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan 2018.
Menurut Dr Xavier, penekanan Pas terhadap penyatuan Melayu-Islam sebagai laluan menuju Putrajaya menimbulkan persoalan mengenai kedudukan masyarakat bukan Melayu dalam gagasan pemerintahan parti itu.
Beliau mengakui Pas mengambil langkah memberikan status lebih tinggi kepada sayap bukan Islamnya namun struktur kepimpinan tertinggi parti masih berasaskan keanggotaan Muslim dan dasar utama parti banyak dipengaruhi kepimpinan ulama.
"... pendirian utama mengenai ekonomi, pendidikan dan agama masih ditentukan oleh majlis ulama parti (Majlis Syura Ulama), bukannya melalui konsensus nasional yang lebih luas.
"Masyarakat bukan Melayu, dan juga ramai orang Melayu, diminta untuk mempercayai sebuah struktur pemerintahan yang mereka sendiri tidak mempunyai laluan sebenar untuk menyertainya," ujarnya.
Dr Xavier turut menjadikan perkembangan undang-undang syariah di Kelantan sebagai antara sebab beliau mempersoalkan hala tuju Pas di peringkat Persekutuan.
Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2024 yang membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 kerana DUN negeri itu melampaui bidang kuasa perundangannya.
Kelantan kemudian menggubal RUU Kesalahan Syariah 2026 yang diluluskan sebulat suara pada Ogos lalu bagi menggantikan 16 peruntukan berkenaan.
Perkembangan itu, kata Dr Xavier, wajar diperhatikan dalam menilai sejauh mana Pas akan membawa pendekatan perundangan syariah ke peringkat Persekutuan sekiranya mendapat kuasa membentuk kerajaan.
Beliau turut membangkitkan persoalan yang lebih berasas ialah pendekatan Pas terhadap pengawasan moral, autonomi wanita dan peluasan bidang kuasa kesalahan syariah dalam kehidupan seharian.
Dalam menilai rekod pemerintahan Pas, Dr Xavier turut merujuk kepada Indeks Pembangunan Manusia Malaysia (MHDI) 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Data itu menunjukkan Kelantan mencatat skor 0.763, Kedah 0.778 dan Terengganu 0.793, semuanya berada dalam kategori pembangunan manusia “tinggi”.
Sebaliknya, Selangor mencatat 0.856, Pulau Pinang 0.849 dan Sarawak 0.821, yang kesemuanya berada dalam kategori “sangat tinggi”.
Xavier berkata angka berkenaan wajar menjadi asas kepada persoalan terhadap keberkesanan model pentadbiran Pas, khususnya selepas Kelantan ditadbir parti itu sejak 1990.
"Jika model pemerintahan anda lebih baik, mengapa ia belum diterjemahkan dalam angka selepas tiga setengah dekad?" katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas tidak semestinya mengamalkan pendekatan ekonomi yang sama seperti retorik politik di pentas parti.
Dr Xavier memberi contoh usaha Kedah dan Terengganu menarik pelaburan asing sebagai tanda wujudnya pendekatan lebih pragmatik di peringkat pentadbiran negeri.
Persoalan yang masih belum terjawab, katanya ialah sama ada pendekatan ekonomi pragmatik itu akan dikekalkan sekiranya Pas memperoleh kuasa di peringkat Persekutuan khususnya apabila berdepan dasar berkaitan agama dan sosial.
Dalam aspek ekonomi, Dr Xavier berkata Malaysia memerlukan kestabilan dasar, keyakinan pelabur dan keterbukaan ekonomi bagi memastikan penciptaan pekerjaan serta pertumbuhan berterusan.
Beliau pada masa sama menggesa perbahasan politik negara lebih menumpukan kepada isu gaji, produktiviti, pendidikan, pelaburan, pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing serta kesan kecerdasan buatan dan automasi terhadap pasaran pekerjaan.
Dr Xavier berkata rakyat perlu menilai Pas berdasarkan bukti dan rekod pentadbiran, bukan hanya slogan politik.
Beliau juga mengingatkan Umno supaya menilai dengan teliti persoalan kerjasama dengan Pas dan kesannya terhadap hala tuju negara.
"Kepimpinan Umno berdepan pilihan sebenar mengenai sama ada kerjasama dengan Pas memberi manfaat kepada negara yang Umno sendiri memainkan peranan penting dalam membinanya sepanjang 69 tahun lalu atau sama ada kerjasama itu mengorbankan legasi tersebut demi peluang untuk menguasai Putrajaya," ujarnya.
Kata beliau, rakyat negara ini perlu menentukan di peti undi sejauh mana risiko yang sanggup mereka terima berdasarkan kekuatan retorik pentas berbanding rekod pentadbiran di peringkat negeri.
Rekod yang berdasarkan angka itu, menurut Dr Xavier, masih belum memberikan hasil yang meyakinkan.
"Ini bukan seruan supaya rakyat panik. Sebaliknya, rakyat perlu melihat Indeks Pembangunan Manusia, data pelaburan dan pertikaian perlembagaan sebenar yang sudah berlaku di mahkamah, kemudian membuat keputusan berdasarkan perkara tersebut dan bukannya slogan daripada mana-mana pihak.
"Sikap skeptikal yang sihat bukanlah sikap prejudis atau fanatik sebaliknya, ia adalah langkah wajar untuk menilai sesuatu berdasarkan bukti," katanya.




Comments