'Pas ada berlori calon PM, satu lori pun tak pernah sampai Putrajaya'
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 2 min read

Pemimpin Pas yang bongkak mendakwa mereka mempunyai 'berlori lori' calon perdana menteri disindir Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Katanya, ungkapan pemimpin Pas kononnya mereka mempunyai tiga hingga empat lori calon hanya menunjukkan politik retorik kosong parti itu yang tiada hala tuju.
Menurut beliau, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak mencerminkan akhlak Islam, malah memperlihatkan kegagalan Pas memahami bahawa jawatan perdana menteri adalah soal kepimpinan, bukannya pertandingan menunjuk banyaknya calon.
"Pas cakap mereka ada tiga, empat lori calon PM. Masalahnya, semua calon tu duduk atas lori yang rosak brek, tayar pancit dan tak tahu arah nak pergi.
"Lori banyak, tapi hala tuju negara kosong. Rakyat tak perlukan karnival calon PM, rakyat perlukan kepimpinan yang stabil dan ada wawasan," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut mempersoalkan walaupun Pas mendakwa memiliki berlori lori calon perdana menteri, realitinya tiada satu pun yang pernah sampai ke Putrajaya dan mengangkat sumpah jawatan.
"Jika benar Pas mempunyai “lori lori calon Perdana Menteri”, realitinya sejak sekian lama satu lori pun tidak pernah sampai ke Putrajaya.
"Ini disebabkan lori lori tersebut adalah lori calon lembu brahman untuk pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan. Yang sampai hanyalah lori penuh janji kosong, retorik agama untuk undi, dan politik kebencian yang tidak membawa apa apa manfaat kepada rakyat, ibarat seperti lori sampah yang membusuk," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat memilih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah kerana kuantiti, tetapi kerana kualiti kepimpinan, pengalaman, serta keberanian membawa negara keluar daripada kegagalan kerajaan terdahulu yang turut disertai Pas.
"Politik Malaysia tidak boleh dipandu dengan kenderaan lori rosak bernama Pas. Rakyat perlukan kepimpinan yang ada visi, dasar, dan keberanian membuat keputusan bukan sekadar menabur sindiran dan angkuh dengan bayangan kuasa yang mereka sendiri tidak pernah capai," katanya.
Mengulas Muktamar Tahunan Pas ke-71 yang bermula hari ini di Kedah, Mahfuz mencabar parti itu menamakan calon perdana menteri mereka secara rasmi dan bukannya 'cakap cakap belakang' oleh kepimpinan mereka sejak beberapa hari lalu.
"Apa pun saya harap muktamar penuh Pas yang ke 71 yang akan bermula hari ini akan dapat memuktamad nama calon PM dari Pas. Kerana Pas begitu marah bila Bersatu mencalonkan Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai calon PM dari Bersatu.
"Jika Muktamar gagal menamakan, ini bermakna Pas tidak mempunyai kelayakan calon yang memenuhi syarat yang dinyatakan oleh YB Datuk Nik Amar, Naib Presiden Pas, bahawa syarat nak jadi PM, jangan gila," katanya lagi.









Comments