Hujah pro dan kontra penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri (PM) telah merebak kepada peruntukan kerajaan yang digunakan untuk membiayai 6 rumah terbuka sehingga Mei depan.
Terdapat pendapat mengatakan seharusnya rumah terbuka PM hanya di Putrajaya, sekiranya melibatkan negeri lain maka perlu dilakukan oleh parti politik.
Antara yang mencadangkan pendapat sedemikian adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan.
Bagi Razeef, rumah terbuka merupakan program rasmi kerajaan dan tidak perlu ditaja atau dibantu menggunakan kewangan parti politik.
"Saya tidak melihat rasional gesaan ini memandangkan ianya merupakan program rasmi kerajaan dan bukannya parti politik.
"Sebelum ini Hassan sendiri pernah menegur untuk tidak mencampur adukkan urusan rasmi kerajaan dan parti politik. Sebaliknya hari ini beliau meminta parti politik menggunakan dana parti pula bagi majlis kerajaan.
"Hassan juga maklum Kerajaan Perpaduan hari ini bukan sahaja terdiri dari Pakatan Harapan (PH) tetapi termasuk juga Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan.
"Namun mengapa sasaran beliau hanya tertumpu kepada PH sedangkan beliau maklum program ini adalah program Kerajaan Perpaduan?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Mengenai contoh yang dibawakan Hassan berkenaan Perdana Menteri India, Indira Gandhi yang pernah didapati bersalah oleh mahkamah India kerana menggunakan helikopter kerajaan berkempen di dalam pilihanraya, Razeef berkata hal itu tidak jelas sangkutannya dengan program rumah terbuka.
Indira Ghandi, ujar Razeef, menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen bagi tujuan memenangkan dirinya sendiri, hal itu jelas salah di sisi undang undang.
"Namun apa kaitan dengan Kerajaan Perpaduan menganjurkan sambutan Aidilfitri dengan menjemput dan menyediakan makanan kepada rakyat serta mengeratkan hubungan pimpinan kerajaan dan rakyat?
"Dan jika ada jentera atau penjawat awam kerajaan terlibat, sudah tentu kerana ini adalah program kerajaan. Namun yang menjadi kesalahan adalah jika program parti politik mengerah jentera kerajaan," katanya.
Tambah Razeef, Hassan perlu mencari populariti dengan cara lain dan tidak terlalu menyentuh program kerajaan bersama rakyat.
Razeef menasihatkan Hassan tidak menegur secara terbuka isu yang sensitif di media sosial kerana terdapat banyak saluran untuk menegur atau memberi cadangan sebagai seorang Ahli Parlimen atau pimpinan secara dalaman.
Hassan Abdul Karim perlu jujur melihat PKR dan tidak kecewa dengan diri sendiri kerana itu lah perjuangan. Realiti nya Anwar Ibrahim memikul tugas yang amat berat tapi Hassan tidak menyantuni kepimpinan untuk tadbir urus negara.