Parti parti politik dalam Kerajaan Perpaduan dan NGO digesa bersatu padu untuk menyelesaikaan isu membelenggu masyarakat India.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sentosa, Dr Gunaraj George, masa untuk berjanji menyelesaikan isu komuniti tersebut telah berlalu dan pelbagai kaedah serta tindakan untuk membangunkan kaum India perlu segera dilakukan.
"Sekarang masa untuk perubahan dan saya menyeru semua pemimpin India dari seluruh spektrum politik, termasuk dari Pakatan Harapan dan MIC, serta wakil daripada NGO serta pemimpin masyarakat, untuk bersatu dan bekerja dengan tekad untuk memartabatkan komuniti kita.
"Masyarakat India di Malaysia, dengan warisan budaya yang kaya, telah menjadi bahagian penting dalam proses pembinaan negara tetapi di sebalik sumbangan besar mereka, ramai orang India terus mengalami masalah sosio-ekonomi.
"Kadar pengangguran dalam kalangan kaum India kekal tinggi, akses kepada pendidikan berkualiti masih menjadi isu, dan perwakilan yang lebih besar dalam pelbagai sektor amat diperlukan.
"Nasib belia India menuntut perhatian segera untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan peminggiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr Gunaraj, masyarakat India di Selangor sejak 3 penggal lalu telah dibela dengan baik oleh Kerajaan PH bersedia untuk melakukan transformasi.
Katanya, dengan melibatkan diri secara aktif bersama Kerajaan Perpaduan kini beliau melihat peluang untuk membentuk dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat India lebih besar.
Katanya, masyarakat India seharusnya bergabung ke dalam wawasan kolektif dan tidak seharusnya mempunyai perbalahan dalaman kerana pembangunan kaum itu di seluruh negara, terutamanya di Selangor harus diutamakan.
"Ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu-isu ini dalam tempoh satu tahun, bersama-sama dengan pengakuan Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran, menandakan satu hala tuju baharu yang menjanjikan.
"Kita perlu memanfaatkan ini dengan bersatu dan memastikan ianya diterjemahkan ke dalam tindakan.
"Kita memerlukan keazaman politik dan keazaman untuk memastikan janji yang dibuat kepada masyarakat India dilaksanakan.
"Saya menggesa pemimpin India untuk melibatkan diri secara aktif dengan Kerajaan Perpaduan dan menyumbangkan pandangan berharga untuk membentuk dasar yang memenuhi keperluan khusus masyarakat itu," katanya.
Tegas Dr Gunaraj, masyarakat India perlu bersatu di bersama Kerajaan Perpaduan untuk membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan India.
Comments