Parti dilanda ujian, AMK siap siaga kukuhkan semula akar umbi
- Akmal Manaf

- May 29
- 2 min read

Meskipun dilabel ‘cedera dan parah’, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menegaskan parti itu masih teguh dan mampu dipulihkan menerusi mobilisasi besar-besaran golongan profesional muda dan pengukuhan semula semangat reformasi.
Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan (gambar) mengakui parti berkenaan berdepan keadaan yang kurang menyenangkan sebagaimana tulisan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, namun menegaskan hal itu bukanlah titik lemah kepada perjuangan KEADILAN.
"Catatan 'DE JEVU' Hassan Abdul Karim menyentuh sanubari kami generasi yang membesar dengan Reformasi. Kami bersetuju dan akui bahawa KEADILAN kini cedera dan parah.

"Namun, ini bukanlah titik noktah, sebaliknya isyarat jelas bahawa jasad parti masih bernyawa dan menuntut rawatan segera agar tidak lumpuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Adib, keadaan terkini merupakan isyarat jelas bahawa parti memerlukan usaha rawatan agar tidak menempuh kesukaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
"Menyahut seruan Otai Reformis, generasi muda sedia membantu saf kepimpinan kanan.
"Kami akan mula menggerakkan jentera profesional muda secara agresif merangkumi peguam, teknokrat, aktivis, dan ilmuwan di media sosial untuk menongkah arus naratif, serta di lapangan untuk menterjemahkan khidmat bakti kepada akar umbi," ujarnya.
Sementara itu, Adib yakin kepimpinan AMK di bawah ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim mampu memacu usaha pemulihan parti dan menyuntik semula semangat perjuangan dalam kalangan anggota.
"Fokus kami adalah memulihkan roh dan imej parti menjelang PRU ke-16, membugarkan semangat anggota agar parti kembali menjadi jurucakap suara rakyat.
"Bak kata Pak Hassan (Hassan Karim), ‘berpantang ajal sebelum mati’, biar apa pun badai, anak muda KEADILAN berikrar mempertahankan kepimpinann presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan tanah air,’’ ujarnya lagi.
Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menzahirkan rasa sedih dan pilu melihat keadaan parti yang sedang dilanda ujian ketika ini.
Hassan menyifatkan, situasi ahli dan pemimpin KEADILAN yang mengambil keputusan meninggal parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai membimbangkan sekali gus melihat keadaan itu berpotensi menjejaskan kekuatan parti menjelang PRU16.
Hassan mengibaratkan KEADILAN kini berada dalam keadaan ‘cedera, luka dan parah’ serta memerlukan rawatan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
"Aku melihat KEADILAN sekarang, cedera, luka dan parah. Banyak darah yang keluar. Jika tidak segera dirawat, boleh membawa lumpuh jika pun tidak, mati," katanya dipetik.




Comments