Parti baharu: Harap ukhwah politik terpelihara, demi agama, negara
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Penubuhan parti politik baharu dilihat berdepan cabaran besar untuk kekal relevan, malah berisiko mengulangi nasib parti terdahulu yang gagal bertahan dalam landskap politik negara.
Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) menyuarakan pandangan bahawa parti baharu seperti Parti Bersama Malaysia yang menjadi wadah baharu bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli berkemungkinan menghadapi nasib sama seperti parti parti kecil lain yang tidak relevan selepas beberapa tahun.
Namun begitu, beliau berharap perkembangan politik semasa tidak menjejaskan hubungan sesama ahli parti, khususnya dalam kalangan anggota KEADILAN dengan yang mungkin berhijrah ke parti baharu.
"Harapan saya mereka yang akan bersama parti Rafizi dan anggota KEADILAN yang kekal tidak akan menjejaskan ukhwah," katanya.
Menurut beliau, perbezaan politik tidak seharusnya meretakkan hubungan sesama manusia, sebaliknya nilai persaudaraan dan matlamat bersama perlu terus dipelihara.
"Yang Islam, akidah kita tetap sama dan yang bukan Muslim, kita sama-sama nak membina negara ke arah lebih baik," ujarnya.
Kenyataan itu hadir selepas semalam Rafizi mengumumkan beliau dan pasukannya akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (MU).
Secara tidak langsung, pengumuman semalam telah menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu mengenai hala tuju politik Rafizi dan pasukannya selepas tewas dalam pemilihan KEADILAN setahun lalu.
Untuk rekod, MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.




Comments