top of page

Parlimen tubuh Kaukus Elektronik, Semikonduktor, Pendigitalan - Chean Chung

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5
  • 1 min read

ree

Satu Kaukus Elektronik, Semikonduktor dan Pendigitalan di bawah seliaan Parlimen Malaysia telah ditubuhkan sebagai usaha memperkukuh ekosistem teknologi bernilai tinggi negara, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Lee Chean Chung (gambar).


Menurut beliau, penubuhan kaukus ini telah dinyatakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Ogos lalu, ketika sidang Parlimen Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 sedang berlangsung.


"Malaysia kini merupakan pengeluar semikonduktor ke-6 terbesar dunia. Melihat kepada potensi besar industri ini, penubuhan Kaukus akan menjadi wadah penting untuk membantu Kerajaan merangka hala tuju yang jelas, di samping meneliti persediaan pelan pembangunan jangka panjang bagi memperkukuh ekosistem elektronik, semikonduktor dan pendigitalan negara secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, langkah itu juga selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan reformasi industri semikonduktor tempatan serta usaha mencergaskan industri perkhidmatan global bernilai tinggi, ke arah memperkukuh daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara.


Lebih signifikan, kata Chean Chung, Kaukus tersebut dibentuk secara rentas parti, melibatkan enam Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan dan Pembangkang.


"Ianya menzahirkan satu langkah yang menggarap komitmen bipartisan bagi memperkukuh daya saing negara dalam sektor teknologi bernilai tinggi," jelasnya.


Ahli Parlimen yang menyertai kaukus ini ialah Lee Chean Chung (Petaling Jaya, inisiator); Chow Kon Yeow (Batu Kawan, Ketua Menteri Pulau Pinang); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Tan Kar Hing (Gopeng); dan Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau).


Chean Chung menambah, dengan kerjasama rentas parti ini, kaukus berkenaan mampu menjadi platform progresif yang menyatukan kepakaran Parlimen, industri dan Kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi termaju di rantau ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page