top of page

Parlimen tempat berbahas, bukan pentas drama politik - Eddiarman

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 41 minutes ago
  • 2 min read

Parlimen seharusnya menjadi medan wakil rakyat berbahas untuk mendapatkan jawapan serta mencari penyelesaian terhadap permasalahan rakyat dan bukannya dijadikan pentas untuk mencetuskan drama politik.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata tindakan segelintir Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat hanya kerana Perdana Menteri tidak hadir dalam sesi perbahasan isu RCI Tabung Haji semalam adalah sesuatu yang mengecewakan.


"Parlimen ialah tempat berbahas, bukan tempat untuk berdrama. Rakyat mahu jawapan dan penyelesaian, bukan aksi politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Eddiarman, pembangkang seharusnya menghormati keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih mendapatkan rawatan di hospital selepas menjalani pembedahan akibat hernia.


"Saya berasa kesal dan kecewa apabila ada Ahli Parlimen pembangkang yang memilih untuk keluar Dewan Rakyat atas alasan Perdana Menteri tidak hadir dalam sesi perbahasan isu RCI Tabung Haji semalam," katanya.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

Jelas beliau, perkara utama yang perlu difahami ialah Perdana Menteri masih lagi sedang mendapatkan rawatan di hospital selepas selesai menjalani pembedahan.


"Dalam keadaan sedemikian, saya percaya perkara ini sepatutnya dihormati dan tidak dijadikan alasan untuk mengelakkan sesi perbahasan," katanya.


Eddiarman berkata tindakan segelintir Ahli Parlimen pembangkang itu adalah suatu yang tidak wajar dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.


"Hari ini kita lihat pula ada ahli politik pembangkang mengeluarkan ulasan yang cuba mengelirukan rakyat serta memberikan alasan yang tidak masuk akal.


"Apakah pihak pembangkang sudah tidak lagi mempunyai nilai ihsan terhadap orang yang sedang sakit? Atau apakah pihak pembangkang risau sebenarnya kerana perkara yang berlaku dalam laporan tersebut juga melalui zaman pentadbiran 33 bulan PN-BN?" soalnya.


Beliau berkata isu berkaitan Tabung Haji juga bukan berada secara langsung di bawah urusan Perdana Menteri sebaliknya melibatkan portfolio menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.


Justeru itu, kata beliau Ahli Parlimen sewajarnya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan mengemukakan persoalan mengenai perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.


"Sesi di Parlimen pula adalah ruang untuk pembentangan, perbahasan dan pertanyaan. Maka, menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk terus berada dalam Dewan, mendengar penjelasan, mengemukakan soalan yang kritikal serta membawa suara rakyat," katanya.


Tambah Eddiarman, sekiranya pembangkang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh menteri berkaitan terdapat saluran Parlimen yang boleh digunakan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.


"Ruang untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri (atau Menteri) tetap ada melalui sesi-sesi khas nanti dan saluran Parlimen seperti jawatankuasa hak dan kebebasan yang tersedia," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru Ahli Parlimen pembangkang terbabit supaya memberikan tumpuan kepada perbahasan substantif mengenai isu Tabung Haji dan bukannya menjadikan ketidakhadiran Perdana Menteri sebagai alasan untuk meninggalkan Dewan.


"Saya menyeru kepada pihak pembangkang terbabit supaya menghentikan drama politik yang tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat.


"...jadilah wakil rakyat yang berguna kepada rakyat, bukan menjadi wakil rakyat yang sekadar memperguna emosi rakyat ketika berkempen untuk mendapat gaji dan elaun setiap bulan selepas menang," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page