Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan sidang Parlimen diadakan sehari tanpa perbahasan dengan menggunakan alasan wabak COVID-19 dianggap sengaja lari daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin kepada rakyat.
Pengasas Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), Hazman Baharom berkata, Hadi hanya menggunakan hujah betapa bahayanya wabak dalam sejarah ketamadunan manusia namun langsung tidak menyentuh fungsi Parlimen dan betapa pentingnya mengadakan perbahasan untuk menangani isu negara.
"Memang sistem kenegaraan berpaksikan Parlimen ini tidak wujud sepanjang sejarah awal Islam, tetapi jangan kita lupa, semangat yang mendasari Parlimen telah lama dipraktikkan oleh tokoh-tokoh terdahulu seperti Umar dengan majlis enam orangnya.
"Atas sebab itulah pemikir kontemporari seperti Louay Safi, al-Qaradawi, Jasser Auda, Kaled Abou El-Fadl, dan lain-lain melihat demokrasi berparlimen sebagai sesuatu yang mampu mencapai aspirasi konsep syura seperti yang diwajibkan Islam ke atas pemerintah.
"Jika mahu merujuk kaedah fiqh, bukankah ada kaedah “al-mashaqqah tajlib al-taysir”? Dengan segala halangan untuk bersidang, aspirasi Parlimen dan konsep syura perlu juga dijalankan, maka kerajaan bertanggungjawab mencari jalan untuk sidang perbahasan dijalankan juga, walaupun bukan secara bersemuka," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Hazman turut menyelar tindakan Hadi yang menggunakan alasan bahawa sahabat nabi banyak menangguhkan pertemuan jika berlaku bencana atau musibah.
"Memang banyak perkara ditangguhkan oleh para sahabat Nabi dan tokoh Islam sepanjang wabak berlangsung, seperti contoh Umar. Tapi apabila kita melihat sejarah, kita harus melihat konteksnya juga.
"Zaman mereka, ilmu perubatan belum semaju hari ini, bahkan ilmu penyakit berjangkit juga masih belum difahami dengan jelas sehinggalah zaman Ibn Sina. Pada masa itu juga, mereka tidak ada cara lain untuk melakukan perkara-perkara yang ditangguhkan.
"Pada masa kini, kita ada terlalu banyak cara untuk bersidang, dan wabak tidak boleh lagi menjadi alasan. Apa sudah jadi kepada hadis “antum a’lamu bi umur dunyakum” (kamu lebih mengetahui urusan duniamu)?"
Justeru, Hazman berharap kerajaan berhenti menggunakan alasan COVID-19 kerana ia akan menunjukkan mereka sebagai pemerintah yang tidak bertanggungjawab.
"Mereka yang mendesak untuk diadakan perbahasan Parlimen tidak menolak pentingnya sikap berjaga-jaga ketika wabak. Abdul Hadi ini seolah-olah mahu meletakkan pertentangan bersifat Manichean, iaitu “kalau sokong ada perbahasan sekarang, maka tidak berwaspada dengan wabak” dan sebaliknya.
"Tanpa semak dan imbang, terlalu banyak masalah yang boleh timbul, khususnya di pihak kerajaan. Segala dasar kerajaan tidak boleh dipersoalkan secara absah. Ada risiko besar di situ untuk penyalahgunaan kuasa, pembaziran hasil-mahsul negara, dan kesilapan dalam tadbir urus.
"Jika kerajaan menjadikan wabak sebagai alasan walaupun terdapat banyak cara lain yang boleh digunapakai, kerajaan seolah-olah sedang bersikap sambil lewa dengan tanggungjawabnya kepada rakyat," katanya.
Comments