Parlimen Segamat laksana Kembali Ke Sekolah, bantu murid memerlukan


Pejabat Parlimen Segamat melaksanakan Program Kembali Ke Sekolah baru baru ini menerusi kerjasama strategik dengan Pasaraya Billion Taman Yayasan Segamat bagi membantu murid-murid sekolah yang memerlukan di sekitar kawan parlimen berkenaan.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj dengan penyerahan baucar membeli-belah bagi pakaian dan peralatan sekolah kepada para penerima.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan, selain menyuntik semangat kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin.
"Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan di samping menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak untuk terus tekun menimba ilmu," katanya dalam satu kenyataan.
Pemberian baucar tersebut dilaksanakan menerusi permohonan yang diterima oleh Pejabat Parlimen Segamat serta pencalonan yang dibuat melalui pihak sekolah bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam ucapannya, Yuneswaran turut menitipkan pesanan kepada para penerima agar belajar bersungguh-sungguh, menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru, serta berusaha membalas jasa mereka apabila mencapai kejayaan kelak.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Pasaraya Billion Taman Yayasan Segamat atas kolaborasi erat yang terjalin, selain menghargai sumbangan semua pihak dan syarikat yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
"Bersama kita prihatin, bersama kita membina masa depan anak-anak Segamat," katanya.




Comments