Sebanyak 6,000 bakul makanan disediakan untuk golongan B40 di Parlimen Putatan yang diterajui oleh Awang Husaini Sahari.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Putatan, merangkap Pengerusi Pelaksana Program Bakul Makanan (PEMULIH) Putatan, Roland Belimbin berkata program bantuan bakul makanan akan bermula pada 12 Julai ini dan akan dijalankan secara berperingkat.
"Program ini dijangka mengambil masa selama 3 minggu meliputi DUN Tanjung Aru, DUN Petagas dan DUN Tanjung Keramat.
"Buat masa ini kami dalam proses mengumpulkan data-data rakyat yang terjejas, data ini diperolehi daripada tinjauan Pejabat Parlimen dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, kepimpinan akar umbi seperti UPPM, Ketua ketua Kampung dan NGO yang diiktiraf," katanya.
Bagaimanapun, Roland mengakui bilangan bakul makanan itu agak kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan golongan B40 di Putatan.
"Tugas dan tanggungjawab berat menanti di dalam misi ini kemanusiaan ini.
"Kami perlu mengenal pasti mereka yang amat terjejas akibat pandemik ini, hanya 6,000 bakul makanan yang disediakan berbanding dengan golongan sasar B40 di Parlimen Putatan yang dianggarkan 42,600 orang," katanya.
Comments