Parlimen Malaysia terus jadi suara lantang perjuangkan Palestin
- Suara Keadilan
- Apr 20
- 1 min read

Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin yang tertindas.
Pendirian itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi satu kenyataan memetik ucapannya pada Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin yang berlangsung di Istanbul, Turkiye baru-baru ini.
Dalam ucapannya Johari berkata, isu Palestin bukan hanya menyentuh dasar luar Malaysia malah adalah isu kemanusiaan, moral dan prinsip yang menyatukan seluruh rakyat.
Malaysia tegasnya membantah dengan keras sebarang usaha untuk memindahkan atau menempatkan semula rakyat Palestin secara paksa.
"Sokongan Malaysia bukan bersifat simbolik atau bermusim, tetapi lahir daripada komitmen moral dan dasar luar negara yang berteraskan keadilan sejagat.
"Serangan berterusan terhadap Gaza adalah jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949.
"Itu adalah satu bentuk pembersihan etnik yang sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat antarabangsa," katanya.
Mesyuarat yang menghimpunkan Speaker dan Presiden Parlimen dari seluruh dunia itu bertujuan menyatakan solidariti untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin selain menzahirkan kebersamaan komuniti antarabangsa dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang berlanjutan.
Pada mesyuarat itu, delegasi Malaysia turut menyatakan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif, termasuk dalam penyelarasan dasar dan mendesak tindakan antarabangsa yang lebih tegas.
"Malaysia menyokong penuh pelan pembangunan semula Gaza yang diketengahkan oleh Mesir dan menyeru agar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dilaksanakan segera.
"Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah lama dizalimi," tegas Johari
Comments