top of page

Parlimen Malaysia berpotensi jadi tarikan pelancongan - Sim Tze Tzin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 45 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Parlimen Malaysia mempunyai potensi besar untuk dijadikan tarikan pelancongan dan destinasi pembelajaran bagi pelajar dan pelawat seperti yang diamalkan di beberapa negara maju.


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar) berkata di beberapa negara seperti Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, lawatan ke bangunan Parlimen menjadi antara intipati penting dalam jadual perjalanan (itinerary) pelancong.


"Ia menjadi satu tarikan yang sangat menarik kerana ramai pelajar, pelawat atau pelancong mereka pergi ke negara tersebut dan pada masa sama tentunya lawatan ke Parlimen menjadi salah satu lokasi dalam rancangan jadual perjalanan mereka.


"Parlimen kita mempunyai ramai pelawat. Semalam dan pagi tadi penuh. Setiap hari ada pelawat.


"Jadi saya rasa Parlimen Malaysia juga penuh dengan potensi itu dan saya harap bahawa Tuan Speaker boleh membantu meningkatkan dari segi itu (lawatan ke Parlimen)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Menjelaskan lebih lanjut, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, lawatan ke Parlimen di luar negara lazimnya sarat dengan penceritaan dan nilai sejarah yang menarik, menjadikannya pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelawat.


"Contohnya, jika kita ke UK, pelawat boleh mendaftar secara dalam talian untuk melawat bangunan Parlimen di sana. Selepas itu, kita hanya perlu mencetak kod QR dan membawanya ke pusat pelawat.


"Di situ, terdapat pegawai yang akan memberikan penerangan menarik mengenai sejarah Parlimen, termasuk kisah tokoh-tokoh seperti ahli Parlimen dan Speaker terdahulu. Lawatan seperti itu memang penuh dengan penceritaan yang bermakna.


"Penceritaan itu sangat menarik dan sarat dengan lagenda. Saya percaya Malaysia juga tidak kurang dengan kisah dan sejarahnya yang tersendiri. Kita mempunyai tokoh-tokoh hebat, termasuk Datuk Ramli Mohd Nor sendiri yang merupakan Timbalan Speaker pertama daripada golongan asal.


"Ia satu fakta bersejarah yang boleh menarik minat pelajar dan pelancong untuk mengenali Parlimen Malaysia yang sangat demokratik dengan lebih dekat dan telah menjadi satu lambang kebanggaan negara kita," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page