Parlimen khususnya Dewan Rakyat perlu dijadikan tempat untuk melatih pemimpin masa hadapan.
Hal itu dinyatakan oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dalam majlis Temu Mesra Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersama media pagi tadi.
Menurut beliau, sekiranya pemimpin muda yang ada hari ini tidak dididik secara terbaik maka negara akan bermasalah 20 tahun akan datang.
"Bagaimana pemimpin masa depan, adakah kita telah cukup sediakan pemimpin untuk masa hadapan? Apa pengalaman yang mereka mesti lalui utuk menjadi pemimpin masa depan?
"Sama ada kita suka atau tidak kita semua akan pergi, dan esok akan datang. Akan datang itu mesti disediakan hari ini.
"Kalau pemimpin tidak bersedia untuk menanam pokok untuk dinikmati buahnya 20 tahun akan datang, kita akan hadapi masalah," katanya.
Berbeza dengan speaker dewan sebelum ini yang hanya mengendalikan persidangan Johari mahu berperanan lebih daripada itu bersama pegawai parlimen lain dalam melatih pemimpin berbahas, meneliti dan meluluskan undang undang di parlimen.
"Peranan saya sebagai speaker untuk kendalikan dewan rakyat tetapi ada lagi kerja saya mesti buat, tidak termaktub dalam standing order iaitu bagaimana melahirkan pemimpin masa depan.
"Kita ada institusi di sini, kita ada kebolehan dan kemampuan untuk melatih pemimpin masa depan
"Keutamaan saya bukan untuk kendalikan dewan tetapi bersama sama untuk menghasilkan pemimpin. Media juga main peranan untuk promosikan idea ini. Bagaimana Malaysia mesti bergerak, berbeza daripada semalam," katanya.
Untuk itu, Johari berkata rakyat tidak perlu terlalu membincangkan hal remeh temeh pada ketika warga dunia sedang mengejar kemajuan.
"Zaman bercakap tentang perkauman, kemelut kelompok, agama ekstrem, saya rasa itu telah berlaku. Dunia ke depan dan memerlukan rakyat Malaysia untuk memikirkannya. Kita bukan hidup dalam isolasi (terpencil), kita sebahagian daripada seluruh dunia. Kita tidak boleh hidup dalam silo, mesti hidup dalam komuniti dunia. Menjadi yang terbaik antara terbaik.
"Kalau tidak kita akan tertinggal. Saya ada kesempatan masa jadi MP dan sekarang YDP dan melawat banyak negara. Saya lihat dunia memecut selepas pandemik Covid 19 dan mereka mahu menjadi yang terbaik. Kita tidak boleh lagi bercakap benda benda kecil.
"Anak muda bila bertemu, ketua komuniti, bercakaplah benda yang besar. Saya perlukan bantuan media untuk bergerak ke depan," katanya lagi.
Johari amat berharap pada masa hadapan wakil rakyat yang bakal memimpin negara dilatih dengan baik dan mereka menjadi Ahli Parlimen bukan kerana kebetulan menang pilihan raya, tetapi adalah individu yang benar benar layak dan dilatih untuk memimpin negara.
Comments