top of page

Parlimen bertafakur untuk adik Yap Shing Xuen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 1 min read

Ahli Parlimen Bayan Baru bertafakur menghormati mendiang Yap Shing Xuen di Dewan Rakyat petang tadi
Ahli Parlimen Bayan Baru bertafakur menghormati mendiang Yap Shing Xuen di Dewan Rakyat petang tadi

Oleh: Helmi Foad


Dewan Rakyat hari ini bertafakur seketika bagi memperingati pelajar perempuan Tingkatan Dua, mendiang Yap Shing Xuen yang ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian tragis di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata tindakan itu sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap keluarga mangsa, susulan permohonan ibu kepada Yap yang sebelum ini merayu rakyat agar “bertafakur” untuk anaknya.


"Saya menjemput Ahli-ahli Parlimen bertafakur sekejap untuk adik Yap Shing Xuen. Semoga rohnya tenang dan damai," katanya berbahas di Dewan Rakyat hari ini.


Dalam perbahasan itu, Tze Tzin turut menegaskan keperluan kerajaan mengurangkan beban tugas pentadbiran yang ditanggung guru agar mereka mempunyai lebih banyak masa untuk berinteraksi dengan pelajar.


"Kita jangan membebankan cikgu-cikgu dengan kerja administratif dan pelbagai program kerajaan.


"Mereka perlu diberi ruang dan masa untuk bergaul dengan pelajar, memahami hati mereka dan menjadi kawan mereka. Itu lebih berkesan dalam mencegah masalah buli dan jenayah di sekolah," katanya.


Pada Selasa, negara dikejutkan dengan kejadian tragis pelajar Tingkatan Dua, Yap Shing Xuen, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya ditemukan mati di dalam tandas sekolahnya selepas dipercayai ditikam lebih 200 kali oleh rakan sekelasnya yang berusia 15 tahun.


Suspek dikatakan memanjat petak tandas sebelum menyerang mangsa yang mengunci diri di dalam, sebelum melarikan diri dan kemudian ditahan polis.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung keselamatan pelajar serta peranan sekolah dalam membentuk hubungan baik antara guru dan murid sebagai langkah mencegah gejala buli serta jenayah dalam kalangan remaja.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page