Parkir Pasar Harian Selayang: Minta Datuk Bandar KL campurtangan
- Redzuan Shamsudin
- Apr 16, 2023
- 2 min read

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mahu Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Kamarulzaman Mat Salleh campurtangan dalam isu parkir di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur kerana mendapat rungutan daripada peniaga.
Menurut Prabakaran, syarikat yang menjalankan perkhidmatan parkir tersebut gagal menjalankan operasi parkir dengan baik sehingga orang awam yang mengunjungi pasar terpaksa meletak kenderaan di kawasan larangan.
"Kalau kita dari Jalan Kuching masuk dalam memang parkir tutup. Saya akan siasat siapa yang dapat (konsesi parkir) dan kenapa proses untuk buka parkir dan kenapa mesin parkir sangat bermasalah
"Ini membebankan peniaga di mana mereka parkir di tepi jalan sebab parkir atas (bangunan) tak ada dan jadi kesesakan lalu lintas.
"Kalau parkir tepi jalan DBKL akan saman. Bila DBKL saman pembeli pun takut nak parkir, kalau parkir atas (dalam bangunan) tidak jalan (berfungsi) mereka tak akan datang pasar harian," katanya dalam sidang media semalam.
Menurut Prabakaran lagi, selain masalah lot parkir tidak boleh dimasuki, peniaga juga mengadu kepada beliau caj parkir yang tinggi sehingga menyukarkan mereka yang berurusan secara harian di pasar berkenaan.
"Di caj untuk satu jam RM1. Wakil peniaga cakap memang tidak munasabah. Kalau satu jam RM1, peniaga sahaja akan beroperasi di sini lebih 8 jam
"Tak kan mereka kena bayar sehari RM10 (caj untuk lori berlainan). Kena bayar lesen, bayar tapak, ini membebankan peniaga dan hari ini peniaga sudah tunjuk perasaan marah.
"Saya akan bawa isu ini kepada Datuk Bandar baharu, Datuk Kamarulzaman dan masa terdekat untuk pastikan Datuk Bandar bantu peniaga di sini.
"Semak balik syarikat dan macam mana kontrak dapat kepada mereka dan ada cadangan dari peniaga untuk ambil alih pengurusan (parkir). Saya akan bawa juga cadangan itu kepada DBKL.
"Saya akan minta Datuk Bandar campurtangan dalam urusan ini," kata Prabakaran.
댓글