top of page

Papar nama MP ponteng: MP Bayan Baru sambut baik saranan Speaker



Oleh: Abdullah Zaid


Anggota Parlimen tidak seharusnya ponteng daripada menghadiri sidang di Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab dan pekerjaan sebagai wakil rakyat.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru Sim Tze Tzin menyambut baik saranan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaparkan nama MP yang tidak hadir di laman sesawang Dewan Rakyat.


Malah, katanya penambahbaikan itu adalah satu usaha yang patut dialu-alu dan disokong oleh ahli-ahli dewan yang lain.


"Rakyat melihat, wakil rakyat dibayar dengan elaun yang begitu tinggi tetapi ponteng ke parlimen.


"Kita juga nampak ada beberapa Ahli Parlimen yang clear cut (secara terang-terangan) selalu tidak ada. Jadi ini adalah isu yang perlu diatasi," katanya menerusi ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.


Jelasnya, jika membabitkan urusan rasmi mana-mana wakil rakyat yang tidak dapat menghadiri sesi dewan sepatutnya memaklumkan kepada parlimen bagi sebarang urusan formal mereka.


"Kita tahu bahawa menteri-menteri ada tugasan rasmi tidak dapat berada di sini (parlimen) sepanjang masa kerana menyelesaikan isu-isu negara.


"Tetapi yang terang-terang ponteng harus didedahkan supaya rakyat nampak wakil rakyat yang dipilih mereka dalam pilihanraya, tidak hadir," ujarnya.


Dalam pada itu, wakil rakyat kerajaan itu juga sempat mempersoalkan beberapa pemimpin utama pembangkang yang dilihat kurang mengambil bahagian dalam perbahasan namun lantang mengkritik kerajaan ketika di luar dewan.


"Di sosial media mereka (pembangkang) hentam kerajaan tidak betul, tetapi tidak masuk ke dewan untuk bangkitkan (berbahas).


"Kita tak dengar suara daripada Marang (Hadi Awang), kita tak dengar suara daripada Pagoh (Muhyiddin Yassin), kita tak dengar suara daripada Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) tetapi di sosial media mereka menjadi hero," katanya sebelum diminta menarik semula oleh Speaker dewan.


Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menolak kemungkinan memaparkan nama-nama Ahli Parlimen yang didapati sengaja tidak hadir atau 'ponteng' sidang Parlimen.


Katanya, langkah penambahbaikan itu bagi menunjukkan tanggungjawab dan tugas wakil rakyat bagi pengundi yang mereka wakili.


Tegas Johari, cadangan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page