Oleh: Abdullah Zaid
Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji) hari ini tampil menyokong keberanian Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.
Penaungnya, Tan Sri YM Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar berkata, keberanian yang ditunjukkan negara Aftika itu sememangnya sesuatu yang amat membanggakan
"Bukan saja rakyat Malaysia rasa terhutang budi kepada Afrika Selatan, malah seluruh dunia Islam juga patut mempunyai perasaan yang sama," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, petang ini.
Katanya, tindakan Afrika Selatan itu menyebabkan Israel kini berhadapan dengan pendengaran awam di ICJ di The Hague, Belanda selama dua hari.
"Afrika Selatan yang memfailkan kes itu pada Disember lalu bagi mendakwa Israel yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Palestin di Gaza yang dilaporkan membunuh hampir 24,000 jiwa
"Oleh itu, Afrika Selatan telah mengemukakan senarai dakwaan berkaitan tindakan pembunuhan beramai-ramai ini," ujarnya.
Justeru, tegas beliau, Panji Malaysia mengajak seluruh rakyat negara ini agar sama-sama berdoa agar keputusan ICJ dapat menghentikan perang di Gaza.
"Ia bukan sahaja membawa berita positif tetapi juga mengakhiri episod kehilangan nyawa yang tidak berkesudahan, terutama insan-insan yang tidak berdosa.
"Oleh itu, Panji Malaysia sentiasa bersama dengan perjuangan rakyat Malaysia dan menyokong apa jua usaha untuk menghentikan perang di Gaza," katanya lagi.
Untuk rekod, Afrika Selatan telah menfailkan setebal 84 muka surat mengenai senarai keganasan Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948 yang dibuat selepas Perang Dunia Kedua.
Negara itu seterusnya meminta langkah sementara daripada ICJ untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk meminta Israel segera menghentikan serangan tentera.
Pihak Israel dijangka mengemukakan pembelaan mereka pada Jumaat ini.
Comments