Panel penasihat NADI sampaikan maklumat tepat, elak salah faham rakyat
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu dilantik digesa memainkan peranan aktif menyampaikan maklumat tepat dan jelas kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjelasan mengenai dasar dilaksana kerajaan perlu dibuat secara berterusan, termasuk diulang jika perlu, bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.
"Contohnya, penyusunan semula subsidi dilakukan kerajaan bertujuan supaya bantuan sampai ke golongan sasaran. Namun, kadangkala maklumat sebenar tidak sampai dan wujud salah faham.
"Ini peranan panel penasihat, perlu ada kematangan dengan mendengar terlebih dahulu seterusnya beri penjelasan supaya maklumat sampai kepada masyarakat.
"Namun, perlu terima hakikat dalam beri penjelasan ia mungkin perlu dilakukan berulang kali. Sebab itu kena faham konteks supaya penerangan diberikan tidak mengundang salah faham," katanya dalam ucapan.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan watikah lantikan kepada 33 panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada Selasa.
Majlis penyampaian watikah itu disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. Turut hadir, EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Muhammad Fahmi Ngah.
Sementara itu, Fahmi berkata panel penasihat perlu menjadi pihak terawal menerima maklumat berkaitan sesuatu isu supaya dapat memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci kepada masyarakat.
Justeru mereka perlu bekerjasama dan bergerak seiring dengan Jabatan Penerangan negeri.









Comments